JAS kesan punca pencemaran Sungai Ngulang
Bernama
Mac 16, 2021 23:14 MYT
Mac 16, 2021 23:14 MYT
KANGAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis hari ini mengambil sampel air di dua lokasi berdekatan sebuah kilang di Bukit Keteri yang dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Ngulang.
Pengarahnya Azman Shah Ismail berkata dua punca itu dipercayai lokasi bagi pelepasan sisa dari loji pengolahan efluen yang dibuang secara haram ke parit berdekatan.
"Hasil tinjauan dan pemeriksaan awal mendapati air berwarna hitam dan sampel air telah dihantar ke Jabatan Kimia di Alor Setar, Kedah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan JAS Perlis bertindak pantas kurang dari 24 jam mengambil dua sampel air di Sungai Ngulang setelah menerima aduan orang ramai mengenai air sungai tersebut menjadi kehitaman.
Bernama difahamkan pencemaran bermula dari sumber perparitan yang memasuki Sungai Jernih, lalu merebak hingga ke Sungai Panggas sebelum mencemari Sungai Ngulang.
Azman Shah berkata pihaknya akan ke kawasan berdekatan sekali lagi bagi mengambil sampel tanah di kawasan tanah sawah yang turut dipercayai sebagai lokasi punca pencemaran.
Katanya, notis arahan kepada premis di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi pematuhan sepenuhnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 akan dikeluarkan setelah mendapat keputusan makmal.
Beliau berkata operasi bersepadu hari ini disertai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Pejabat Tanah Dan Galian Perlis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertanian Perlis.
Katanya, JAS menyeru orang awam untuk membantu dengan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar.
-- BERNAMA
#PDRM
#Kedah
#Perlis
#Alor Setar
#polis
#kerajaan
#operasi
#Jabatan Alam Sekitar
#JAS
#pencemaran
#Sungai Ngulang