JAS Johor pantau kualiti udara akibat kebakaran pusat pelupusan sampah
Bernama
Ogos 11, 2023 19:00 MYT
Ogos 11, 2023 19:00 MYT
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menjalankan pemantauan kualiti udara di kawasan sekitar Pusat Pelupusan Sampah Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini akibat kebakaran yang berlaku di tapak tersebut, tengah malam tadi.
Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff berkata pemantauan dilakukan pihaknya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
"Buat masa ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan MBPG sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.
"Pihak JAS Johor akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai kejadian itu dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Pegawai Bomba Kanan I KUP Mohd Yusri Atan dalam kenyataan berkata sebaik menerima panggilan pada 12.46 tengah malam tadi, seramai sembilan anggota dengan dua jentera digegaskan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran di pusat pelupusan sampah yang berkeluasan 5.26 hektar.
"Keluasan yang terbakar dianggarkan adalah lebih kurang 2.83 hektar. Seramai 14 anggota dari MBPG turut membantu melakukan pemadaman di lokasi kejadian.
"Sehingga 5.30 petang tadi operasi pemadaman masih dijalankan, bagaimanapun kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa," katanya.
-- BERNAMA