JAS harap RUU Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2023 dibentang selewat-lewatnya suku pertama 2024

Firdaus Azil
Oktober 9, 2023 21:35 MYT
Jabatan Alam Sekitar juga berharap kerajaan dapat melihat keperluan untuk menambah lagi anggota penguatkuasa, dalam usaha mengekang aktiviti pencemaran alam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berharap agar Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2023 dapat dibentangkan secepat mungkin bagi membolehkan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih berkesan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Ahmad Latif Wan Jaffar berkata, RUU itu diperlukan bagi meningkatkan lagi langkah pencegahan, termasuk mengenakan denda yang lebih tinggi terhadap mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar.
Katanya lagi, beliau berharap agar ia dapat dibentangkan, selewat-lewatnya suku pertama tahun hadapan.
"Kita memang dah submit pada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), jadi sekarang ini keputusan di peringkat kementerian, dan kita jangka paling lewat suku tahun pertama tahun depan.
"Dalam pindaan ini kita syorkan denda sehingga RM10 juta dan juga penjara mandatori tak lebih lima tahun. Itu antara perkara penting yang kita tambah baik pindaan undang-undang baru ini. Begitu juga kompaun contoh pembakaran terbuka, kompaun RM2,000 tapi kita naikkan sehingga RM500,000,” katanya.
Wan Ahmad Latiff berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Jabatan Alam Sekitar Bersama Rakan-Rakan Media, di ibu negara, pada Isnin.
Dalam pada itu beliau berkata, JAS juga berharap agar kerajaan dapat melihat keperluan untuk menambah lagi anggota penguatkuasa, dalam usaha mengekang aktiviti pencemaran alam.
"Pada masa ini, jumlah anggota (penguatkuasa) JAS yang terlibat dalam 1,100 orang, dan secara keseluruhan ada 1,500. Kita telah buat pengiraan daripada segi beban kerja, yang perlu dikawal seluruh Malaysia. Kita perlu lebih ramai orang bagi memastikan punca pencemaran kita akan dapat pantau dan boleh siasat, kumpulkan bukti bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya lagi.
#Jabatan Alam Sekitar #Rang Undang-Undang #Wan Ahmad Latiff #Parlimen
;