JAS arah kontena bawa 'e-waste' haram dari Amerika Syarikat dihantar pulang

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 13, 2021 11:20 MYT
Antara buangan-buangan yang ditemui ketika pemeriksaan dijalankan dalam kontena itu adalah skrin elektronik rosak, papan elektrik yang berada dalam keadaan tercerai serta komponen-komponen elektronik lain. - JAS
BUTTERWORTH: Sebuah kontena yang membawa masuk buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari Amerika Syarikat yang ingin dilupuskan secara haram di negara ini diarah pulang ke negara asal.
Arahan tersebut dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas mendapati e-waste berkenaan dibawa masuk tanpa mendapat kelulusan JAS terlebih dahulu.
Pengarah JAS negeri , Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dijalankan pegawai-pegawai JAS negeri bersama dengan pegawai kanan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pelabuhan NBCT.
Jelas beliau, di bawah Konvensyen Basel, kelulusan awal daripada negara penerima dan negara transit adalah diperlukan untuk pengimportan sebarang buangan terjadual termasuk e-waste.
"Mengikut prinsip asas Konvensyen Basel, setiap buangan perlu dirawat atau dilupus di negara asal melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti ketiadaan kemudahan rawatan sisa dan telah mendapat kelulusan awal JAS.
"Sehubungan itu, JAS mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena terbabit ke negara asal. Kegagalan pihak pengimport untuk mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan yang tegas diambil tanpa notis lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, antara buangan-buangan yang ditemui ketika pemeriksaan dijalankan dalam kontena itu adalah skrin elektronik rosak, papan elektrik yang berada dalam keadaan tercerai serta komponen-komponen elektronik yang lain.
"Buangan ini didapati dibawa masuk bagi tujuan pelupusan secara haram di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, mana-mana pihak yang mengimport buangan terjadual, termasuk e-waste (SW110) ke negara ini tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.
"Seperti semua pihak sedia maklum, buangan e-waste adalah dilarang untuk diimport kecuali mengikut cara yang diperuntukkan seperti yang dinyatakan di Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
"E-waste perlu diuruskan pelupusannya mengikut kaedah yang betul kerana buangan terbabit mengandungi bahan berbahaya seperti logam-logam berat yang boleh mencemar alam sekitar jika tidak diuruskan secara selamat," katanya.
#kontena #e-waste #Jabatan Alam Sekitar #JAS #sisa elektronik #Amerika Syarikat #pulau pinang #NBCT #pelupusan #bahan buangan
;