Jaringan silang budaya menerusi UCUC

Awani Rangers UUM
Februari 6, 2018 19:00 MYT
ORAPHAN: Kami berpeluang berjumpa dan berkenalan dengan pelajar yang datang dari pelbagai negara selain melawat destinasi menarik - Foto AWANI Rangers UUM
Sebanyak 52 mahasiswa dari tiga Universiti menyertai 1st UUM-Chiang Mai University-USM International Student Conference (UCUC) menimba pengalaman berharga dalam menyerlahkan potensi dan membina jaringan antarabangsa.
Mereka terdiri daripada mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Chiang Mai University, Thailand dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dicetuskan oleh Pejabat Pembangunan Pelajar dan Alumni, UUM College of Business (PPA UUM COB).
Mahasiswa Sarjana Muda Perbankan Dan Kewangan Islam, UUM, Muhammad Khamim Zikri Mohd Nahrawi berkata, program tujuh hari itu bertujuan memantapkan kepimpinan dan mewujudkan satu rangkaian komuniti bagi membantu mereka memimpin masyarakat.
"UCUC menjadi platform terbaik untuk membentuk pemimpin muda yang kreatif, berdikari, peka dan hak asasi merentas sempadan selain berusaha meningkatkan lebih banyak jaringan.
"Saya bersyukur diberi peluang menimba pengalaman berharga dalam membangunkan pelajar secara holistik dengan memberi pendedahan ke arah pembentukan sikap positif, keyakinan diri dan kreativiti," katanya.
Tambahnya, program ini mewujudkan jaringan sosial yang lebih luas dan membolehkan mahasiswa bertukar idea serta berkongsi maklumat berkaitan cara pembelajaran di samping mempelajari budaya masing-masing.
Sementara itu, peserta dari Chiang Mai University, Thailand, Oraphan Phongkitkarun menyambut baik program yang memberi pendedahan kepada mahasiswa menguasai pelbagai kemahiran kepimpinan, pengurusan dan keterampilan.
"Mahasiswa diberi kepercayaan menguruskan aktiviti yang memerlukan daya pemikiran kritis dalam membuat keputusan dan kemahiran komunikasi berkesan untuk membentuk keyakinan diri ketika berhadapan dengan khalayak.
"Kami berpeluang berjumpa dan berkenalan dengan pelajar yang datang dari pelbagai negara selain melawat destinasi menarik. Kesempatan itu digunakan mahasiswa bagi berkongsi idea dan strategi tentang bagaimana membina masa depan yang lebih baik untuk komuniti," ujarnya.
Beliau teruja menerokai kampus di rimba hijau UUM dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti pembentangan lisan dan poster, kenu, berbasikal, golf dan go-kart.
Dalam pada itu majlis Perasmian disempurnakan oleh Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, UUM College of Business, Dr. Hendrik Lamsali di Dewan Seminar C, STML.
Hendrik berkata, program mobiliti inbound tidak berkredit itu memberi pendedahan dan interaksi sesama peserta dari dalam dan luar negara mengenai konsep kesedaran, penghargaan, pemahaman dan tanggungjawab bersama.
"Tema persidangan, Global Citizenship tepat pada masanya dan menjadi tugas mahasiswa untuk mendukung tema itu selain memperkenalkan UUM kepada masyarakat global.
"Melalui seminar ini mahasiswa dapat mempamerkan konsep kewarganegaraan global masing-masing menerusi aktiviti yang dijalankan dengan berusaha menyedari, menghargai warganegara lain dan menjadi warganegara yang baik dengan belajar kepelbagaian budaya," ujarnya.
Peserta turut dibawa melawat sekitar Bandaraya Alor Setar, kilang pemprosesan produk kesihatan berasaskan Ganodema iaitu DXN Marketing Sdn.Bhd, lawatan sekitar Pulau Pinang, melawat kampus USM dan Bandaraya Georgetown.
___________________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers Amir Faruqi Ahmad Fadzli dari Universiti Utara Malaysia, UUM.
**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.
**Awani Rangers UUM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
#Amir Faruqi Ahmad Fadzli #AWANI Rangers #AWANIRangers #UCUC #UUM #UUM-Chiang Mai University-USM International Student Conference
;