Jaringan Lebuh Raya Kedua Sarawak suntikan ekonomi baharu di Sri Aman - Abang Johari
Bernama
Ogos 30, 2020 00:00 MYT
Ogos 30, 2020 00:00 MYT
Jaringan Lebuh Raya Kedua Sarawak melalui daerah Sebuyau, Lingga dan Roban di Bahagian Sri Aman akan memberi suntikan yang dapat menghidupkan suasana ekonomi baharu di bahagian itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata usaha memajukan bahagian Sri Aman bakal digembleng melalui satu perancangan induk dinamakan Sri Aman Development Area (SADA) yang akan melihat secara keseluruhan bagaimana kawasan itu boleh diangkat dari segi pembangunan ekonominya.
"Saya amat berharap jajaran lebuh raya yang baharu ini nanti akan membuka kawasan Sri Aman kepada aktiviti pertanian dan pelancongan secara lebih intensif lagi untuk manfaat masyarakat di sini," katanya semasa berucap di majlis Ambang Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini malam ini.
Jajaran sepanjang 225 kilometer dari Kuching ke Sibu itu bernilai RM6 bilion dan kini dalam proses reka bentuk serta dijangka ditender pada tahun ini.
Beliau berkata Sri Aman berpotensi dalam aktiviti pertanian seperti tanaman padi dan nanas khususnya untuk tujuan eksport dan Sarawak mempunyai potensi yang begitu besar dari segi pengeluaran makanan namun ini harus dimanfaat secara sistematik menggunakan teknologi serta kaedah pemasaran baharu.
Abang Johari berkata sektor pertanian Sarawak secara keseluruhannya mendapat peruntukan sebanyak RM700 juta tahun ini untuk memperkasa bidang itu di negeri tersebut.
"Sri Aman ada potensi (pelancongan) yang baik dengan adanya tempat-tempat seperti Empangan Batang Ai, Pelancongan Budaya dan Alam Semula Jadi di Skrang dan Batang Lemanak, kehidupan Orang Utan di Taman Negara Batang Ai, Benak (ombak) Batang Lupar, kehidupan liar di kawasan paya tanah gambut seperti Taman Negara Maludam dan lain-lain.
"Kerajaan negeri di bawah pentadbiran GPS (Gabungan Parti Sarawak) mempunyai iltizam untuk memastikan Sri Aman mampu bergerak seiring dengan kawasan lain yang sudah berada di hadapan," katanya.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg
#ekonomi
#Jaringan Lebuh Raya Kedua Sarawak
#Ketua Menteri Sarawak
#Lingga
#Roban
#Sebuyau
#Sri Aman