Jariah Ramadan: Infaq pembangunan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi

Haikal Raman
April 17, 2022 11:43 MYT
Pusat Pengajian Ruwaq Jawi dicetuskan oleh penuntut ilmu al-Azhar al-Syarif yang bernaung dibawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
KUALA LUMPUR: Bersedekah ataupun berinfaq merupakan amalan yang amat dituntut dalam agama Islam, tambahan pula jika ia dilakukan pada bulan mulia Ramadan yang mana dijanjikan pahala berlipat kali ganda.
Sebagai umat Islam yang mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW, kita disarankan untuk merancakkan lagi amalan bersedekah ketika Ramadan ini, bertepatan dengan sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas R.A:
Adalah Nabi SAW, seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan,” hadis riwayat al-Imam al-Bukhari.
Mengambil ibrah daripada sifat pemurah Nabi Muhammad tersebut bersama-sama kita mengeluarkan sedikit daripada harta untuk disalurkan dalam proses pembangunan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi bertempat di Kaherah, Mesir.
Hab pengajian agama yang diadakan secara percuma ini sudah pun bermula lebih 200 tahun lalu, ia dibangunkan oleh generasi ulamak terdahulu bagi melahirkan lebih ramai para ulamak masa hadapan dengan penganjuran kira-kira sebanyak 130 kelas pada setiap bulan.
Pusat Pengajian Ruwaq Jawi dicetuskan oleh penuntut ilmu al-Azhar al-Syarif yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
AWANI Pagi: Sumbangan dana pembangunan Ruwaq Jawi
Ruwaq atau Anjung adalah nama khusus digunakan oleh al-Azhar al-Syarif yang membawa maksud satu tempat yang dijadikan sebagai pusat pengajian, perbahasan ilmiah, daurah kitab-kitab ilmu Islam dan majlis-majlis yang menghimpunkan para alim ulamak, para penuntut ilmu serta para pencinta ilmu yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang.
Pendakwah bebas, Ustaz Nabil Ahmad berkata, Ruwaq Jawi tidak hanya sekadar program bagi memberi ruang pengajian kepada masyarakat dan pelajar Malaysia di sana tetapi tempat penyebaran dakwah secara umum.
“Di sini kita akan menjemput para ilmuan dari Universiti al-Azhar untuk mengimarahkan setiap proses dan juga kelas-kelas pengajian di sini, malah ia dianjurkan secara percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja.
“Ia merupakan sesuatu yang mulia dan sempena bulan Ramadan ini, kita nampak ada peluang untuk membuat kebaikan dalam menyalurkan sumbangan. Jangan kita bertangguh dan jangan kita simpan atau tahan-tahan melakukan amalan bersedekah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.
Menurut Nabil, pihaknya menyasarkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM4.35 juta bagi membeli satu bangunan Ruwaq Jawi yang lengkap dengan fasiliti serta pelbagai kemudahan untuk dimanfaatkan oleh para penuntut Malaysia di sana.
“Sehingga hari ini (Sabtu), jumlah terkumpul dalam tabungan Yayasan Al Azahar Al Thani adalah sebanyak RM1.849 juta, kita masih memerlukan RM2.5 juta lagi bagi membeli bangunan dengan fasiliti lengkap untuk memastikan kelas pengajian berjalan lancar.
“Kita dalam usaha untuk membeli satu bangunan secara pengurusan sendiri. Bangunan ini akan dibangunkan bersama fasiliti lebih berstruktur seperti dewan-dewan kuliah, bilik pengurusan atau pentadbiran serta maktabah (perpustakaan/ pusat rujukan kitab),” ujarnya.
Lokasi yang disasarkan bagi membeli bangunan Ruwaq Jawi adalah di bumi Kaherah iaitu di haiyu sabie' (seksyen tujuh), di mana ia merupakan kawasan strategik dan berdekatan dan tempat tumpuan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan atau berinfaq bagi pembangunan Ruwaq Jawi boleh salurkan melalui maklumat dibawah:
Pusat Pengajian Ruwaq Jawi
Maybank Islamic: 5621 0669 8855
Laman web: www.danapembangunanruwaqjawi.com
Facebook: Pusat Pengajian Ruwaq Jawi
Gmail: ruwaqjawialazhar@gmail.com
Tel: 011-5887 6218 / 011-5670 3118
Apapun harta yang kita infakkan, maka Allah S.W.T pasti akan menggantikannya dan Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki.
#InfaqRamadan #SedekahJariah #RuwaqJawi #AlAzharMesir
;