Jari tersepit, surirumah bawa mesin pengisar ke balai bomba

Astro Awani
Oktober 18, 2017 22:43 MYT
Anggota bomba mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan jari yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Seorang surirumah yang tersepit jarinya di dalam mesin pengisar terpaksa menahan sakit dengan membawa alat berkenaan bersamanya ke Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh bagi meminta bantuan.
Mangsa yang dikenali sebagai Norhaliza Idris, 30, dipercayai datang dari rumahnya di Jerteh, Terengganu, bagi mendapatkan pertolongan pihak bomba untuk mengeluarkan jarinya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar, mangsa datang ke balai bomba sekitar jam 4 petang.
"Jari tangan mangsa tersepit di dalam mesin pengisar ikan," katanya.
Empat anggotanya mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan jari yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Tiga jari mangsa dikatakan remuk teruk dan mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.
#bomba #jari tersepit #mangsa #mesin pengisar
;