Jari tersepit pintu, anggota bomba tiba segera selamatkan kanak-kanak
Abd Razak Mohd Ali
November 18, 2022 16:57 MYT
November 18, 2022 16:57 MYT
IPOH: Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan jari seorang kanak-kanak yang tersepit di celah pintu di Taman Seri Klebang, Chemor, dekat sini, hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.47 petang dan sepasukan anggota segera dihantar ke lokasi.
"Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu tersepit jari tangan kanan pada pintu rumahnya.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk merenggangkan celahan pintu supaya jari kanak-kanak itu boleh dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Abdul Rahman Abdullah tamat jam 3.11 petang.