Jari nyaris hancur tersepit mesin pengisar daging
Rohana Wahed
Jun 3, 2018 15:34 MYT
Jun 3, 2018 15:34 MYT
Seorang pekerja lelaki menahan kesakitan kira-kira 30 minit apabila jarinya nyaris hancur tersepit ke dalam mesin pengisar ketika sedang mengisar daging di sebuah restoran di Jalan Kenyalang Piasau Utara, Miri pada Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Jimmy Suhaili berkata, ketika kejadian lelaki tempatan berusia 20-an itu sedang mengisar daging.
Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Ketika sedang leka memasukkan daging secara tiba-tiba jari mangsa tersepit pada mesin pengisar tersebut.
"Mangsa kemudian memaklumkan kepada majikannya sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat bagi mendapatkan bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Jimmy, pihaknya terpaksa membuka dan meleraikan beberapa bahagian mesin tersebut untuk membantu mengeluarkan jari mangsa.
Bagaimanapun, tidak dilaporkan tahap kecederaan dialami mangsa dan lelaki itu kini menerima rawatan di Hospital Miri.