Jari hampir putus ketika cuba rampas pisau penyamun

Sinar Harian
September 17, 2023 14:13 MYT
Ahmad Fathul menunjukkan jari tangan kanannya yang cedera terkena pisau dalam kejadian cubaan samun pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang remaja hampir putus jari dalam kejadian cubaan samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Jalan Tengku Muhammad Maasum, Kampung Bunut Payong di sini.
Bercerita detik cemas itu, mangsa, Ahmad Fathul Aslam Nasharudin, 19, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, seorang lelaki tiba-tiba memasuki kedai dan mengeluarkan pisau.
Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian mengarahkannya mengeluarkan wang sambil menghalakan pisau yang dipegang.
"Saya pada mulanya panik tetapi cuba bertenang dan bangun dari kaunter dengan berpura-pura hendak mengambil wang.
"Saya terus memegang pisau dan menyentapnya bagi mengelakkan lelaki itu menghunus ke badan saya. Namun saya tidak bernasib baik apabila lelaki itu menarik pisau dan terkena ibu jari serta jari telunjuk tangan kanan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.
Dalam keadaan kelam kabut, Ahmad Fathul memberitahu, lelaki itu terus berlari keluar dan membonceng motosikal rakannya yang menunggu di luar kedai.
Jelasnya, melihat darah memercik ke lantai, dia hanya memikirkan jarinya putus dan terus menjerit meminta tolong.
Ketika itu katanya, beberapa individu di luar kedai berlari untuk membantu, manakala peniaga di sebelah kedainya menghubungi ambulans.
Ahmad Fathul dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab kira-kira jam 3.30 petang dan dirawat selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Kami masih menjalankan siasatan berkenaan kes terbabit. Kes disiasat di bawah 393 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#jari hampir putus #samun kedai runcit #Kota Bharu #hunus pisau
;