Jarang berlaku, Wee Ka Siong bawa telur ayam ke Parlimen

Ridauddin Daud
Februari 22, 2023 15:15 MYT
Wee Ka Siong membawa tiga biji telur ayam untuk ditujukkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bagi tujuan membuat perbandingan.
KUALA LUMPUR: Dalam sesi Sidang Dewan Rakyat penggal ini, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN - Ayer Hitam) antara Ahli Parlimen yang kerap kali membangkitkan isu kekurangan telur di pasaran.
Pada Sidang hari ini, beliau sekali lagi menyuarakan isu sama, namun kali ini, Ka Siong membawa tiga biji telur ayam untuk ditujukkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bagi tujuan membuat perbandingan.
Daripada ketiga-tiga telur ayam berkenaan, sebiji dari India, sebiji telur ayam tempatan dan sebiji lagi telur Omega bagi membandingkan saiz dan harganya kepada Dewan.
“Dalam konteks ini, saya bawa telur dari India, saya beli 50 sen. Ini adalah telur Malaysia (sambil menunjukkan telur tempatan) yang harganya dikawal, 45 sen ini.
“Kita dapat lihat beza saiznya. Kita dapat lihat telur dari India ini, harga 50 sen, lebih kecil dari telur dari Malaysia…ini kekurangannya. Kalau kata telur Omega Ini, telur kampung, harganya 76 sen.
“Orang kaya, orang berada boleh beli tapi inilah puncanya (tunjuk telur Malaysia) nak bantu Perusahaan Kecil dan Sederhana khususnya orang Melayu untuk buat kuih,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurutnya, isu telur harus diselesaikan segera kerana beliau tidak mahu kerajaan ‘diserang’ sekiranya tiada stok telur menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri kelak.
Telur India 50 sen, lebih kecil - Wee Ka Siong
#Wee Ka Siong #telur tempatan #telur India #Parlimen
;