Jarak penglihatan jadi cabaran APMM dalam misi operasi pemadaman api di Sumatera
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 13, 2015 09:22 MYT
Oktober 13, 2015 09:22 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi memadam kebakaran di Sumatera Selatan yang memasuki hari ketiga hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Madya Maritim Datuk Che Hassan Jusoh berkata jarak penglihatan yang amat terhad iaitu hanya satu kilometer, memberi cabaran kepada juruterbang.
"Dengan jarak penglihatan yang amat terhad iaitu hanya satu kilometer, ianya memberi cabaran kepada juruterbang dan kru pesawat untuk memastikan tugas memadam api di kawasan terbabit dapat diteruskan dengan lancar dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas berkenaan operasi semalam, Che Hassan berkata Pesawat Bombardier CL 415 telah melakukan 13 kali pengeboman air dengan jumlah isipadu air yang mencapai 78,000 liter.
Katanya, kawasan operasi meliputi 20 kilometer persegi, di 80 batu nautika Tenggara Palembang.
"Dalam operasi itu, pesawat Bombardier telah melakukan 13 kali pengeboman air dengan jumlah isipadu air yang mencapai 78,000 liter.
"Operasi yang memakan masa selama 4 jam 40 minit itu dilakukan ke atas kawasan seluas 20 kilometer persegi yang terletak di 80 batu nautika ke Tenggara Palembang," katanya.
Ujar Che Hassan, operasi yang bermula sejak 11 Oktober lalu akan diteruskan dan dijangka memakan masa selama 5 hari.