JaPen Sabah pergiat hebahan pastikan rakyat faham, daftar PADU
Bernama
Januari 9, 2024 12:02 MYT
Januari 9, 2024 12:02 MYT
KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah giat membuat hebahan dan promosi mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan rakyat di negeri ini memahami kepentingan mendaftar dengan sistem baharu itu.
Pengarahnya Jainisah Mohd Noor berkata usaha menyebarluaskan maklumat PADU dibuat menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok seliaan JaPen Sabah, selain hebahan secara bersemuka dan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat.
Beliau berkata inisiatif memperkasakan hebahan dan promosi itu juga sebagai sebahagian daripada kerjasama rentas agensi untuk membantu Jabatan Perangkaan (DOSM) Sabah bagi memastikan rakyat berumur 18 tahun ke atas di negeri ini mendaftar dengan PADU sebelum 31 Mac.
"Jika dilihat, tujuan utama pembangunan PADU adalah untuk meningkatkan kecekapan dasar dan pengagihan sumber seperti subsidi serta bantuan kerajaan supaya lebih bersasar kepada rakyat yang layak.
"Justeru, hebahan mengenai PADU adalah sangat penting agar rakyat mengetahui, memahami dan menerima hasrat kerajaan di sebalik pelaksanaan sistem itu seterusnya membuat pendaftaran dalam tempoh tiga bulan ini," katanya kepada Bernama.
Jainisah berkata aktiviti hebahan bergerak menerusi Info On Wheel turut dilaksanakan termasuk mengedarkan risalah berkaitan agar rakyat terutama di luar bandar dan pedalaman Sabah cakna berhubung pelaksanaan PADU.
Mengulas lanjut, Jainisah berkata JAPEN Sabah juga akan bekerjasama dengan DOSM Sabah bagi membolehkan aktiviti menyebarluaskan maklumat berkaitan PADU di negeri ini dapat dilakukan secara bersepadu dan komprehensif.
Beliau berharap kerjasama rentas agensi itu mampu menjadi platform terbaik dalam usaha memperkenalkan inisiatif berkenaan seterusnya meyakinkan seluruh rakyat Sabah tentang pelaksanaan sistem baharu itu.
Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.
Ia bagi meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.
-- BERNAMA