JaPen naikkan tempoh sah laku baharu kad media antarabangsa jadi 2 tahun

Astro Awani
Mac 7, 2024 17:49 MYT
JaPen memberitahu, bagi pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan termasuk media dalam talian pula tempoh sah laku KPM adalah dua tahun. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) Jabatan Penerangan (JaPen) bagi pengamal media antarabangsa dinaikkan daripada satu tahun kepada dua tahun berkuat kuasa serta-merta.
Japen memaklumkan, kemas kini tempoh sah laku itu antara penyelarasan dilaksanakan JaPen bagi pengamal media antarabangsa warga tempatan.
"Bagi pengamal media antarabangsa bukan rakyat Malaysia dan dalam lawatan jangka panjang pula, tempoh sah laku KPM ditetapkan setahun," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, JaPEN memberitahu, bagi pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan termasuk media dalam talian pula tempoh sah laku KPM adalah dua tahun.
Bagaimanapun, tempoh sah laku KPM bagi pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media katanya, ditetapkan selama setahun.
"Selain itu, pengamal media dalam talian yang baru mendaftar dengan JaPen, tempoh sah laku KPM ditetapkan selama enam bulan.
"Tempoh itu untuk memastikan media dalam talian berkenaan beroperasi secara aktif, sahih dan tidak menyebarkan maklumat palsu dan selepas itu, tempoh kelulusan diberikan adalah sama seperti kategori pengamal media dalam talian yang lain.
"Pemegang KPM JaPen yang mempunyai tempoh sah laku masih aktif boleh membuat permohonan memperbaharui selepas tamat tempoh KPM masing-masing," ujarnya.
Japen memberitahu, semua permohonan pendaftaran agensi media baharu dan permohonan KPM yang lain adalah tertakluk kepada tempoh sah laku baharu yang ditetapkan.
#Kad Perakuan Media #Jabatan Penerangan #kementerian komunikasi #wartawan
;