JaPen anjur pertandingan fotografi, mewarna sempena Hari Kebangsaan

Bernama
Ogos 21, 2024 14:30 MYT
JaPen menganjurkan Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2024 dan Pertandingan MyDoodle@Merdeka.
KUALA LUMPUR: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menjemput orang ramai menyertai Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2024 dan Pertandingan MyDoodle@Merdeka yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 (HKHM 2024) bermula 16 Ogos hingga 16 Sept ini.
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JaPen Nor Shamsinar Baharom berkata pertandingan fotografi itu bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti dalam kalangan rakyat Malaysia melalui seni fotografi dan nukilan kenegaraan.
"Ini merupakan tahun keempat penganjuran Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka kerana penyertaan selama ini memang memberangsangkan dan melibatkan pelbagai kaum dan peringkat usia.
"Pemenang akan dipilih berdasarkan kesesuaian dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka', kreativiti, patriotisme dan nilai kenegaraan yang ditonjolkan," katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.
Nor Shamsinar berkata pertandingan itu terbuka kepada warganegara berumur 15 tahun ke atas dan koleksi foto pemenang akan ditempatkan di portal MyFoto dan dipamerkan di Perpustakaan Foto JaPen.
Sementara itu Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JaPen (jawatan sama) Nor Ezwaty Mohd Bahror berkata Pertandingan Mewarna dan Melukis MyDoodle@Merdeka bertujuan memupuk semangat cintakan negara daripada akar umbi dan melibatkan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Nor Ezwaty berkata pertandingan itu terbuka kepada murid berumur 7 hingga 12 tahun untuk pertandingan mewarna dan 13 hingga 17 tahun bagi pertandingan melukis doodle.
"Pertandingan mewarna melibatkan dua kategori iaitu 7 hingga 9 tahun bagi kategori A dan 10 hingga 12 tahun untuk kategori B, dengan hanya satu penyertaan dibenarkan.
"Setiap pelajar perlu mencurahkan idea mewarna dan melukis doodle tanpa bantuan guru atau ibu bapa dan kemudian memuat naik hasil kerja mereka di portal merdeka360.my," katanya.
Johan akan menangi wang tunai RM500 (melukis doodle), RM400 (mewarna kategori B) dan RM300 (mewarna kategori A) berserta plak dan sijil penyertaan.
Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh layari portal merdeka369.my atau laman sosial Merdeka360.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #pertandingan fotografi #bulan Kemerdekaan #Japen