Janji temu jam 5 petang tapi datang 10 pagi, antara sebab kesesakan di PPV KLCC

Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 29, 2021 04:32 MYT
Sebahagian besar pekerja asing yang hadir ke PPV KLCC gagal mengikut masa janji temu seperti yang telah ditetapkan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Keadaan sekitar Pusat Pemberian Vaksin PPV KLCC yang menjadi tumpuan warga asing untuk mendapatkan vaksin COVID-19 yang sesak sejak semalam nampaknya tidak banyak berubah hari ini.
Daripada tinjauan yang dilakukan sekitar jam 11 pagi tadi, keadaan sesak itu masih berterusan dengan kebanyakan mereka berkumpul di laluan masuk ke PPV berkenaan.
Sebahagian mereka gagal mengikut arahan janji temu apabila ada yang datang terlalu awal daripada masa yang ditetapkan.
Pihak polis yang bertugas di pekarangan pintu masuk di kawasan terbabit terpaksa mengarahkan sebahagiannya bersurai dan kembali ke PPV berkenaan mengikut masa yang ditetapkan.
BACA: Ratusan warga asing banjiri PPV KLCC, cetus keresahan orang ramai
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil maklum keadaan semasa yang berlaku di PPV berkenaan dan langkah sewajarnya telah dilakukan.
“Kita sudah dimaklumkan keadaan tersebut dan barisan yang panjang seperti semalam sudah berkurangan. Masalah yang timbul ialah apabila sebahagian mereka iaitu warga asing berlegar-legar di kawasan sekitar kerana ada yang datang terlalu awal.
“Ada yang datang pagi sedangkan janji temu yang telah ditetapkan ialah pada pukul 5 petang. Kita berharap situasi akan lebih baik menjelang tengah hari," katanya.
Semalam video dan gambar keadaan di kawasan PPV KLCC tular di media sosial dan menimbulkan kerisauan ramai dengan keadaan sesak dibanjiri oleh warga asing yang ingin mendapatkan suntikan vaksin di PPV berkenaan.
Cetus Keresahan | Ratusan warga asing banjiri PPV KLCC
#COVID-19 #media sosial #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #Sains #suntikan #vaksin #video #warga asing