Janin bayi lelaki ditemui tersangkut di jeriji besi loji kumbahan

Astro Awani
Mac 14, 2017 17:30 MYT
Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai janin bayi yang ditemui tersangkut di jeriji besi loji itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Astro AWANI
Janin bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui tersangkut di jeriji besi loji rawatan kumbahan syarikat Indah Water Konsortium, di Batu Maung, pada Selasa.
Janin itu ditemui oleh seorang pekerja syarikat tersebut kira-kira jam 12.20 tengah hari ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di loji berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Anuar Omar berkata, pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima panggilan daripada pekerja loji itu yang memaklumkan berhubung penemuan janin tersebut.
Pada masa yang sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Mayat janin itu kemudiannya dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat bagi menentukan usianya.
#bayi lelaki #Hospital Balik Pulau #janin #jeriji besi #Loji Rawatan Kumbahan #Supt Anuar Omar
;