Jangkitan sporadik di Sabah masih tinggi, patuh SOP kesihatan di bazar ramadan - Masidi
Eleanor Michelle Patrick
April 4, 2022 15:09 MYT
April 4, 2022 15:09 MYT
KOTA KINABALU: Masyarakat di Sabah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ketika berada di tempat awam seperti bazar ramadan dan pusat beli-belah.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hal ini kerana peratusan jangkitan sporadik kembali meningkat hari ini iaitu 55 peratus berbanding 43 peratus semalam.
"Peratusan jangkitan sporadik yang tinggi bermakna risiko jangkita juga akan bertambah khusus di tempat-tempat sesak.
"Tempat-tempat awam yang perlu kita beri perhatian dan berhati-hati ialah bazar ramadan dan pusat beli-belah. Sehubungan itu, patuhi SOP kesihatan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kes positif COVID-19 di negeri itu menunjukkan penurunan.
Katanya, 140 kes direkodkan pada Isnin dengan hanya empat daerah mencatatkan kes dua angka iaitu Kota Kinabalu 37 kes; Tuaran (21 kes); Tenom (13 kes) dan Penampang 12 kes.
"Sebanyak 135 atau 96.43 peratus daripada 140 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan dua. Manakala lima kes lagi dalam Kategori 4 dan 5," katanya.