Jangkitan serotip denggi kedua lebih parah - Pakar

Tan Su Lin
Julai 5, 2015 21:10 MYT
Kes demam denggi dan kadar kematian yang tinggi akibat wabak itu bukan berpunca daripada strain denggi yang baharu. Sebaliknya, mungkin disebabkan jangkitan berulang akibat serotip denggi berlainan.
Kes demam denggi dan kadar kematian yang tinggi akibat penyakit itu bukan berpunca daripada strain denggi yang baharu.
Sebaliknya, simptom dan komplikasi yang dialami pesakit denggi sehingga ada yang mengakibatkan kegagalan organ mungkin disebabkan jangkitan berulang akibat serotip denggi berlainan.
Pengarah Pusat Kajian dan Penyelidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Prof Sazaly Abu Bakar menjelaskan, apabila seseorang dijangkiti demam denggi buat kali kedua dengan serotip yang berbeza, ia boleh membawa kepada gejala lebih teruk.
"Kalau kali pertama mereka terkena demam denggi disebabkan denggi serotip 1, mereka hanya kena demam denggi biasa, dan apabila kali kedua terkena dan disebabkan denggi serotip 2, mereka mungkin boleh mendapat risiko demam denggi berdarah.
"Itu mungkin dimaksudkan dengan kemungkinan wujudnya strain denggi yang baharu tetapi sebenarnya ia bukan strain baharu. Itu adalah serotip yang kedua. Sebagaimana kita tahu serotip 1, 2, 3 dan 4 sudah lama wujud di Malaysia," kata Prof Sazaly.
Berikutan kebanyakan penduduk sudah terkena serotip pertama, ini menjadikan mereka kini lebih terdedah kepada virus serotip kedua.
"Sebelum ini kadar demam denggi tidak begitu tinggi. Tetapi kita tengok sekarang, kadar orang terkena denggi telah mencecah 100,000 orang. Jadi apabila 100,000 orang telah terkena denggi kali pertama, maknanya 100,000 orang ini akan berisiko terdedah kepada demam denggi berdarah apabila terkena kali denggi serotip kedua," katanya.
Terdapat empat jenis serotip virus denggi yang dikenalpasti iaitu serotip 1, 2, 3 dan 4 dengan kesemuanya merangsang pembentukan antibodi yang berlainan.
Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi kerana ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja.
"Apabila terkena denggi kali pertama kita mempunyai imun tindak balas yang melindungi kita daripada penyakit lebih teruk. Tetapi apabila kita terkena serotip 2, 3 dan seterusnya, tindak balas imun itu sendiri akan menjadi musuh kita.
"Kalau kali pertama tindakan balas imun menolong badan kita menghapuskan virus itu tetapi tindak balas terhadap serotip kedua dan ketiga itu meyebabkan virus menyerang organ-organ dalaman kita," jelas Prof Sazaly.
Kajian mendapati kebanyakan penyakit virus demam denggi di negara ini adalah disebabkan oleh jangkitan denggi virus daripada serotip 1.
Namun kes denggi sejak kebelakangan ini mula menunjukkan peningkatan dalam jangkitan serotip 2.
Prof Sazaly turut menarik perhatian kebanyakan jangkitan serotip berlainan itu berlaku di 'hotspot' denggi yang sama.
"Kalau kita tengok data dan statistik terkumpul sepanjang 10 tahun ini, kawasan sama adalah kawasan hitam untuk denggi untuk sepanjang tempoh itu. Jadi mereka yang tinggal di kawasan itu juga akan terdedah kepada denggi seterusnya kalau tidak serotip 1, 2, lepas itu, 3 dan seterusnya," ujarnya.
Menurut kajian, kira-kira 90 peratus orang dewasa di Malaysia didapati seropositive di mana antibodi denggi telah berada di dalam badan berikutan pernah dijangkiti denggi sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya sebelum ini.
Justeru Prof Sazaly menasihatkan mereka yang pernah dijangkiti demam denggi untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengelak digigit nyamuk Aedes bagi mengurangkan risiko diserang jangkitan denggi serotip kedua.
#denggi #Sazaly Abu Bakar #serotip
;