Jangkitan kuman pada usus perut punca kematian banduan penjara Bentong

Bernama
Jun 8, 2018 12:21 MYT
Mariappan, 24, yang berasal dari Jerantut dipenjarakan pada 18 April lalu kerana kesalahan pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dibebaskan pada tahun hadapan. - Foto iStock Photo
Kematian banduan M. Mariappan di Penjara Bentong, dekat sini pada Rabu lalu, disahkan akibat cirit-birit kerana jangkitan kuman pada usus perut atau severe acute gastroenteritis.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata mendiang disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Mempaga, Bentong semasa dibawa untuk menerima rawatan pada pukul 12.40 pagi, 6 Jun lalu.
Mariappan, 24, yang berasal dari Jerantut dipenjarakan pada 18 April lalu kerana kesalahan pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dibebaskan pada tahun hadapan.
"Berdasarkan laporan pihak penjara, mendiang dikatakan mengalami sakit perut dan telah menerima rawatan di klinik penjara pada 5 Jun lalu, namun mengadu masih berasa sakit.
"Pada 6 Jun lalu, mendiang mengalami sesak nafas menyebabkan dia dibawa ke Klinik kesihatan Mempaga untuk rawatan, namun meninggal dunia di situ dan mayatnya dihantar ke unit forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat," katanya.
Rosli berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di Perumahan Polis Alor Akar di sini, hari ini.
Beliau juga mengesahkan seorang koperal penjara telah membuat laporan polis berhubung kematian mendiang pada pukul 2.05 pagi Rabu.
Berdasarkan laporan bedah siasat, Rosli berkata pihaknya mengklasifikasikan kematian mendiang sebagai mati mengejut.
"Laporan bedah siasat juga menyatakan tiada kesan lebam, merah atau sebagainya pada fizikal mendiang yang boleh menunjukkan berlaku kejadian dera atau jenayah terhadapnya.
"Walaubagaimanapun, polis akan melakukan siasatan terperinci walaupun kematian mendiang telah disahkan sebagai mati mengejut," katanya.
Rosli menambah pegawainya akan melakukan tinjauan sel tahanan mendiang dan merekodkan percakapan kakitangan penjara terlibat mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
-- BERNAMA
#kesihatan #Kuantan #mati #meninggal dunia #Pahang #penjara #usus perut
;