Jangkitan COVID-19 meningkat tiga peratus musim perayaan
Sinar Harian
Mei 5, 2023 12:00 MYT
Mei 5, 2023 12:00 MYT
PUTRAJAYA: Jangkitan COVID-19 meningkat kepada tiga peratus pada musim perayaan ini dengan 4,817 kes dilaporkan pada minggu epidemilogi (ME) 17.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, keadaan jangkitan COVID-19 masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan serta kapasiti di hospital tidak terjejas.
"Majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas, namun peningkatan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam adalah sekitar 1.4 hingga 1.8 per 100,000 populasi bagi tempoh sama manakala bilangan pesakit kategori tiga hingga lima meningkat dari 1.3 kepada 2.0 per 100,000 populasi
Beliau berkata, peratus pengisian katil bukan kritikal dan katil unit rawatan rapi (ICU) masing-masing meningkat sebanyak tiga peratus manakala meningkat 0.2 peratus bagi pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
"Untuk makluman, peratus pengisian katil ICU COVID-19 pada 4 Mei ialah 15 peratus dan 23 peratus pengisian katil bukan kritikal.Sehingga ME 17/2023, terdapat 33 kluster COVID-19 yang masih aktif dengan satu kluster baharu dilaporkan.
"Kluster baharu itu membabitkan kumpulan berisiko yang berlaku di pusat jagaan warga emas," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Radzi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Wesak.
"Sehubungan dengan itu, KKM menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala ketika aktiviti kunjung mengunjung bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan," katanya. - Sinar Harian