Jangkaan 8,000 kes pada Mac mungkin jadi lebih awal - Pakar kesihatan
Faris Danial Razi
Januari 29, 2021 06:30 MYT
Januari 29, 2021 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Unjuran 8,000 kes harian COVID-19 pada Mac depan berkemungkinan berlaku lebih awal sekiranya langkah drastik tidak dilaksanakan.
Pada masa sama, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM, Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat sekiranya jumlah jangkitan harian terus merekodkan lebih 5,000 kes, ia bakal beri tekanan kepada kemudahan kesihatan.
“Besar kemungkinan, jangkaan 8,000 kes sehari pada bulan Mac itu, mungkin akan berlaku lebih awal.
"Maksudnya, kalau kita lihat pada awal dahulu, angka 8,000 pada pertengahan Mac.
"Namun, jika keadaan ini berterusan dengan angka 5,000, dan langkah drastik di peringkat individu masyarakat tidak dipedulikan, jadi tidak mustahil angka itu akan terus meningkat pada kadar lebih awal,” katanya.
Beliau turut berharap bahawa kes sedemikian iaitu peningkatan kes tinggi seawal Mac dapat dielakkan kerana ia semestinya memberi tekanan buat kakitangan kesihatan.
“Di kalangan anggota kakitangan kesihatan terutamanya, barisan hadapan yang mengendalikan pesakit-pesakit, terutama di hospital, kita lihat pertambahan kes kritikal.
“Kita kena faham bahawa apabila seseorang itu mendapat gejala, kita tidak pasti siapa di kalangan mereka ini akan mempunyai gejala yang teruk.
“Malah, perkembangan ini biasanya berlaku dalam keadaan yang cepat. Jika terlalu ramai yang mendapat komplikasi yang teruk dalam satu masa.
“Jadi, sukar untuk pihak hospital dan mereka yang mengendalikan pesakit untuk mendapatkan rawatan sebaik-baiknya,” tambahnya lagi ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Dr Malina juga menyarankan agar setiap individu dalam masyarakat mengambil lonjakan kes COVID-19 sebagai satu isu serius.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan statistik kes baharu COVID-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#lonjakan kes positif
#kes baharu
#8000 kes harian
#Malina Osman
#jangkitan harian
#kemudahan kesihatan