Jangka rugi RM100 bilion, Travel Bubble beri nafas baharu pelancongan domestik

Ridauddin Daud
November 23, 2020 16:41 MYT
Nancy Shukri menjangkakan kerugian boleh mencecah RM100 bilion malah mungkin lebih pada hujung tahun ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Dari Januari hingga Jun lalu, industri pelancongan negara kerugian RM45 bilion angkara COVID-19.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menjangkakan kerugian boleh mencecah RM100 bilion malah mungkin lebih pada hujung tahun ini.
Begitupun, keputusan kerajaan meluluskan Gelembung Perjalanan Domestik atau Travel Bubble sedikit sebanyak memberi nafas baharu buat sektor pelancongan.
“Perkara ini adalah selaras dengan strategi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang meliputi tiga strategi utama.
“Pertama, untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong semula. Kedua adalah pemfokusan untuk menyemarakkan pelancongan domestik atau “Reviving Domestic Tourism”.
“Ketiga adalah untuk mengenal pasti segala produk dan meningkatkan penawaran yang lebih kreatif dengan memaksimumkan sumber sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Status Terkini Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik di sini pada Selasa.
Tambah beliau, beberapa program sedia untuk digerakkan termasuk kerjasama dengan persatuan dan e-market platform untuk mempromosikan pakej penginapan bagi menggalakkan pelancongan domestik dan membantu hotel di bandar yang terkesan.
Menurutnya, kerjasama juga dijalin dengan persatuan hotel bajet yang terpilih dan aktif mengikut negeri, keutamaan diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan MOTAC melalui kempen ‘Jom Nginap’ dan ‘Malaysia Welcomes You’.
Berikut antara program lain yang sudah digerakkan MOTAC:
- Kempen ‘Cuti-Cuti Malaysia’ dengan kerjasama syarikat penerbangan bagi meningkatkan hubungan ke lokasi percutian di dalam negara untuk merangsang pelancongan domestik
- Menjalin kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan dan syarikat swasta iaitu Prasaranabagi menggalakkan pelancong menggunkana pengangkutan awam
- Diskaun Pembelian Produk Kraf di Outlet Karyaneka untuk menggalakkan penjualan kraftangan Malaysia
Dalam pada itu, Nancy berkata, MOTAC menyambut baik keputusan kerajaan yang membenarkan gelembung perjalanan dilaksanakan di negara ini.
“Oleh itu kami berharap rakyat akan mengambil peluang untuk melancong dengan selamat dan sentiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard) di dalam norma baharu sepanjang perjalanan,” ujarnya.
#Nancy Shukri #travel bubble #gelembung perjalanan #SOP #Menteri Pelancongan #pelancongan #kerajaan #rakyat #penerbangan #pelancong #Cuti-Cuti Malaysia #sektor pelancongan #COVID-19 #menteri #hotel #bajet
;