Jangka rugi lebih 50 peratus: Bungkus atau penghantaran sahaja - Presma

Harits Asyraf Hasnan
Mac 17, 2020 18:44 MYT
Restoran di bawah Presma akan beroperasi seperti biasa, namun pelanggan tidak dibenarkan untuk menjamu selera di dalam premis.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menjangkakan anggotanya bakal berdepan kerugian lebih 50 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan itu selain akan sedaya upaya membantu menangani wabak itu.
Menurut beliau, restoran-restoran akan beroperasi seperti biasa, namun pelanggan tidak dibenarkan untuk menjamu selera di premis.
"Tidak dibenarkan makan atau minum di restoran, cuma dibenarkan untuk bawa pulang, bungkus ataupun menggunakan penghantaran makanan seperti Food Panda, Grab Food seumpamanya.
"Kami juga akan cuba nasihat ahli-ahli persatuan untuk letak hand sanitiser di semua premis untuk tambah baik dari segi kebersihan dan apa-apa yang boleh kita bantu.
"Dari segi masalah-masalah apabila kedai kena kurangkan operasi, sejak dua hingga tiga bulan kebelakangan ini, perniagaan berkurangan 30 hingga 40 peratus. Esok apabila perintah berkuat kuasa, ini kemungkinan besar perniagaan akan jatuh lebih 50 peratus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Memetik jawapan soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.
#Datuk Jawahar Ali Taib Khan #Food Panda #Grab Food #operasi restoran perintah kawalan pergerakan #Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia #Presma #restoran buka #restoran mamak
;