'Janganlah cerita kat orang' - Chedet berseloroh, tentang apa...?

Astro Awani
Ogos 5, 2021 17:54 MYT
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah adalah dua figura yang menjadi contoh pasangan yang sentiasa bersama saat suka-duka sehingga saat ini. - Sumber foto FB Dr Mahathir bin Mohamad
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali adalah dua figura dan contoh pasangan yang sentiasa bersama untuk berkongsi saat suka duka sehingga saat ini.
Sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-65 pasangan romantis ini, kedua-dua mereka berkongsi kenangan lama semasa mula-mula bercinta di zaman kolej.
Kata Dr Mahathir, bibit-bibit percintaan mereka bermula semasa menuntut di kolej perubatan pada tahun 1947 dan ketika itu, beliau berjaya memikat Dr Siti Hasmah dengan kebijaksanaannya dalam pelajaran.
"Pada masa itu, hanya ada tujuh orang sahaja budak Melayu. Di antara itu ada seorang sahaja wanita. Semua berebut-rebut nak angkat buku, bila nak pergi lecture (kuliah) nak bawa buku, masing-masing berebut nak bawakan buku pasal nak berkawanlah...saya pun berebut jugalah.
"Namun, kadang-kadang saya menang, dia bertanya terutama pasal pelajaran Fizik, saya tolong dia, bagi tuisyen sikit. Saya mungkin lebih ada peluang daripada lima orang yang lain ni, yang nak mendekati Tun Siti," kata Dr Mahathir dalam satu perkongsian rakaman video di laman Facebooknya pada Khamis.
(Video berdurasi lebih empat minit itu turut dimuat naik hari ini di laman YouTube rasmi Dr Mahathir dan waktu artikel ini disiarkan tontonan sudah menghampiri 3,000).
Seperti juga pasangan lain, pergaduhan kecil dalam perkahwinan itu sudah menjadi asam garam kehidupan berumah-tangga.
"Kami berkelahi, pasal selalu dia lambat. I am a stickler for time (saya ini seorang yang sangat menepati masa. Saya kalau orang panggil jemputan ke apa, saya nak hadir on time. Tetapi tahulah mereka ini nak bersolek, apa semua, makan masa lama. Kadang-kadang berkelahilah," kata Dr Mahathir secara berseloroh.
Bagaimanapun kata Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir juga adalah seorang yang romantik semasa muda dulu.
"Pada waktu muda dulu, ya romantik. Agaknya itu biasalah. Bila muda romantiklah, tetapi usia makin lanjut, makin kurang, tetapi tidaklah sampai tak mahu nak peluk atau cium, masih ada lagi," kata Dr Siti Hasmah.
Kata-kata Dr Siti Hasmah itu sekali gus menyebabkan Dr. Mahathir berseloroh;
"Janganlah cerita kat orang," kata Dr Mahathir, sambil kedua-duanya ketawa.
Cukup romantik!
Di akhir video, mereka sempat mengucapkan ungkapan Wo Ai Ni kepada satu sama lain, sambil menjelaskan, kasih sayang antara mereka tidak semestinya diluahkan melalui kata-kata.
Sumber Facebook TunDrMahathir
#Facebook #Mahathir Mohamad #perkahwinan #video #ulang tahun #Siti Hasmah #negarawan
;