Jangan wujudkan kebencian agama dan berita palsu - Dr Wan Azizah

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 25, 2018 19:17 MYT
WAN AZIZAH: Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keharmonian di negara ini.
Kemakmuran dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di Malaysia ketika ini tidak wajar diganggu gugat dari sebarang anasir.
Itu yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir pada majlis minum teh sempena Hari Krismas di Luther Center, Petaling Jaya pada Selasa.
Menurutnya kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau sebarang cubaan menodai nikmat kebebasan beragama dan keharmonian yang dikecapi ketika ini.
“Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keharmonian di negara ini.
"Berita palsu, mesej yang mengapi-apikan dan mesej yang membangkitkan kebencian agama tidak mempunyai tempat dalam Malaysia Baharu," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Kesemua itu jelasnya mampu memberi ancaman kepada negara.
Malah menurut beliau, kerajaan baharu yang dibentuk hari ini telah diambil alih dengan begitu sempurna daripada kerajaan terdahulu tanpa sebarang bentuk kekerasan dan pertumpahan darah.
Majlis yang dianjurkan Persekutuan Kristian Malaysia, Majlis Gereja-Gereja Malaysia dan pihak-pihak berkaitan itu turut dihadiri Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
#Azizah #Dr Wan Azizah Wan Ismail #kerajaan #Malaysia #menteri #Perdana Menteri #Petaling Jaya #rakyat #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail
;