Jangan tutup siasatan kes Muhammad Adib walau sementara - PPMM
Astro Awani
September 29, 2021 11:00 MYT
September 29, 2021 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan bahawa kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara.
PPMM dalam satu kenyataan hari ini mendesak siasatan kes pembunuhan arwah Muhammad Adib tidak ditutup walaupun sementara dan usaha perlu dilipatganda bagi mencari keadilan.
Tegas Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, kenyataan menutup sementara kes seharusnya tidak dikeluarkan oleh seorang menteri, apatah lagi yang tidak berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang jenayah.
“Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah.
"Jika siasatan ditutup bagaimanakah bukti baharu akan diperolehi?” soal Zainul Rijal.
PPMM juga mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri.
Sabtu lalu, Zuraida berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.
Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaa parah dalam satu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada tahun 2018.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).
#Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
#ppmm
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#Datuk Zainul Rijal Abu Bakar