'Jangan tunggu viral' - JKR, syarikat konsesi diarah tingkat rondaan kenal pasti kerosakan jalan
Bernama
Disember 3, 2024 19:15 MYT
Disember 3, 2024 19:15 MYT
SHAH ALAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi yang mengendalikan penyenggaraan jalan raya diingatkan meningkatkan frekuensi rondaan di jalan-jalan seliaan masing-masing terutama dalam keadaan cuaca buruk yang berpotensi menyebabkan pelbagai kerosakan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihak yang bertanggungjawab seharusnya tidak bersikap lepas tangan dan mengambil mudah berhubung kerosakan jalan raya yang boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.
Beliau juga tidak mahu pihak yang dipertanggungjawabkan hanya bertindak selepas isu kerosakan infrastruktur menjadi viral di media sosial.
"Janganlah kita tunggu isu menjadi viral baru bertindak. Pesanan ini sudah saya tekankan berulang kali dan saya berharap semua pihak termasuk pasukan kementerian dan agensi di bawahnya akan mengambil langkah lebih proaktif dalam mengawasi situasi ini.
"Saya tidak mahu lagi mendengar aduan dan berita yang melibatkan kemalangan di jalan raya yang rosak," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Kenyataan itu susulan aduan kerosakan yang diterima beliau daripada pengguna jalan raya termasuk hantaran di media sosial oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri yang menegur pihak JKR berhubung kerosakan Jalan Pelabuhan Utara-Barat dan Jalan Pelabuhan Utara, Seksyen 1, dekat sini baru-baru ini.
Alexander berkata syarikat kontraktor yang mengendalikan projek di laluan melibatkan jalan Persekutuan juga harus mengambil tanggungjawab membaiki kerosakan yang berlaku.
Beliau berkata walau sekecil mana pun aduan kerosakan jalan raya ia tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan soal keselamatan dan nyawa manusia.
Banyak faktor menyumbang kepada kerosakan jalan raya seperti jalan uzur, kenderaan berat dan juga cuaca buruk seperti yang melanda negara ketika ini namun pihak bertanggungjawab tidak boleh memandang 'sebelah mata' setiap aduan yang diterima.
Berhubung isu yang dibangkitkan Azmizam, Alexander berkata beliau memandang serius perkara berkenaan dan dimaklumkan JKR Klang telah mengambil tindakan segera dengan menampal jalan berlubang dan kerosakan permukaan jalan di expansion joint (sambungan pengembangan) disebabkan hujan lebat pada 1 Disember lepas.
Kerja-kerja tampalan itu disenggara oleh konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd (RCSB) di Jalan Pelabuhan Utara-Barat.
Beliau berkata Jalan Pelabuhan Klang Utara yang turut dirakamkan Azmizam bukan lagi di bawah senggaraan konsesi RCSB sebaliknya di bawah tanggungjawab pemilik projek naik taraf Klang Container Terminal (KCT) sejak 20 Okt 2016.
Alexander berkata beliau dimaklumkan kerja pembaikan sambungan pengembangan telah dijalankan pada 2020 manakala tindakan tampalan turut dilakukan namun berlaku kerosakan berulang.
"Pasukan JKR dan konsesi juga telah turun ke kawasan terbabit dan kerja tampalan sementara sudah dilaksanakan di lokasi terlibat pada 25 dan 26 Nov lepas sebagai inisiatif segera oleh pihak JKR Klang," katanya.
-- BERNAMA