Jangan tunggu saat akhir bayar zakat fitrah

Bernama
Mac 31, 2024 05:00 MYT
Norizan Khazali (tengah) membantu mengagihkan ayam yang disumbang menerusi Majlis Agihan Infaq Ayam Segar menjelang Aidilfitri di perkarangan Masjid Sultanah Haminah, Kampung Banggol Besi, pada Ahad. - Gambar Bernama
PENDANG: Umat Islam diminta supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar zakat fitrah bagi membolehkan agihan dibuat lebih cepat kepada asnaf yang layak ketika Aidilfitri tinggal beberapa hari lagi untuk diraikan.
Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Seri Norizan Khazali berkata, kelewatan berbuat demikian memberi impak kepada jumlah kutipan yang setakat ini baru menghampiri RM1 juta berbanding sasaran tahun ini sebanyak RM12.65 juta.
"Kutipan zakat fitrah ini lazimnya saat akhir, orang bayar petang raya atau malam raya, jadi saya nak menyeru penduduk Kedah bayarlah cepat jangan saat akhir sangat. Kita tengok kutipan pun baru kira-kira RM1 juta, sila bayar cepat secara dalam talian atau jumpa amil di kariah masing-masing.
"Jangan lengahkan bayaran kerana sasaran kita lebih tinggi tahun ini berbanding RM12.05 juta pada tahun lepas," katanya selepas merasmikan Program Infaq Ayam Segar kepada asnaf di pekarangan masjid Sultanah Aminah, di sini. pada Ahad.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.
Norizan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkata, orang ramai juga diminta membayar zakat fitrah kepada LZNK berbanding membayar terus kepada asnaf.
Mengenai program infaq ayam, beliau berkata, ia diteruskan lagi tahun ini dengan agihan ayam sebanyak 3,332 ekor ayam bernilai RM49,980.
Menurutnya, program itu memberi manfaat kepada 1,666 keluarga asnaf dengan setiap keluarga akan menerima dua ekor ayam segar sebagai persiapan sebelum Aidilfitri.
"Agihan ayam segar hari ini diserahkan kepada 30 asnaf di 50 masjid seluruh daerah Pendang dengan bantuan penolong amil yang akan menentukan mereka yang layak," katanya. - BERNAMA
#Aidilfitri #zakat fitrah #asnaf #dalam talian
;