Jangan tunggu lagi, tambah ilmu teknologi sekarang - Tun Mahathir
Hilal Azmi
Januari 19, 2020 22:01 MYT
Januari 19, 2020 22:01 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada di alam pekerjaan untuk menambah ilmu berkaitan teknologi bagi menghadapi revolusi industri.
Katanya, pendidikan menjadi aspek penting bagi membolehkan teknologi dimanfaatkan sebaiknya kepada keseluruhan masyarakat.
“Pendidikan dan pemahaman bidang teknologi tidak boleh tunggu lagi.
“Ia perlu ditekankan sekarang termasuk mereka yang berada dalam dunia pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di Pusat Konvensyen Antrabangsa Langkawi pada Ahad.
Katanya lagi, menerusi 5GDP, banyak perkara baru akan dipelajari seiring dengan proses pembangunan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) yang dijadual bakal dikomersialkan bermula suku ketiga tahun ini.
Pada masa sama, ketika ini lebih 100 projek 5GDP telah dijalankan merangkumi sembilan aspek meliputi bandar pintar, pertanian pintar, bidang pembuatan, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, media dan hiburan, serta pelancongan pintar.
#5GDP
#ilmu teknologi
#Perdana Menteri
#Projek Demonstrasi 5G
#teknologi 5G
#teknologi komunikasi generasi kelima