Jangan 'tunggu dan lihat', dapatkan maklumat dan daftar vaksin - Adibah Noor
Rahimah Abdullah
Jun 5, 2021 22:40 MYT
Jun 5, 2021 22:40 MYT
KUALA LUMPUR: Diakui, penerimaan terhadap vaksin dalam kalangan masyarakat di negara ini ada berbagai-bagai kategori.
Dengan melihat peningkatan kes COVID-19 dalam negara, memang ramai yang sudah tidak sabar untuk mendapat giliran disuntik vaksin dan tidak kurang pula terdapat segelintir yang menolaknya tanpa mengetahui kebenarannya.
Namun ada juga yang bukan menolak vaksin, tetapi mungkin masih 'berkira-kira' atau teragak-agak untuk mengambil vaksin COVID-19.
Penyanyi dan pelakon, Adibah Noor berani mengaku bahawa dialah antara mereka yang masih mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' sebelum mendaftar untuk vaksinasi.
Antara sebabnya, pada ketika itu, Adibah mahu memberi laluan kepada mereka yang lebih memerlukan suntikan berkenaan.
"Sejujurnya, saya nak mengakulah di sini yang saya tergolong antara yang memilih untuk tunggu dan lihat berkenaan dengan Program Vaksinasi Kebangsaan atau imunisasi COVID-19. Kenapa saya jadi macam tu ya? Takde apa-apa sebenarnya.
"Di antara sebab-sebabnya adalah, saya lebih suka kalau orang lain didahulukan, mereka yang sangat-sangat memerlukan imunisasi itu, contohnya frontliners, golongan yang berisiko tinggi, dan lain-lain lagi. Jadi saya memilih untuk tunggu di barisan yang belakang. Saya juga tidak pasti akan keadaan kesihatan saya sama ada boleh menerima vaksin atau tidak," katanya kepada Astro AWANI.
Namun, selepas berusaha mendapat maklumat yang mencukupi selain melihat rakan-rakan artis berani mendaftar dan mendapatkan vaksin, mula timbul kesedaran dalam diri.
Dia membuat keputusan tepat, apabila mendaftar untuk vaksinasi pada akhir bulan lalu.
"Setelah membaca segala informasi dan melihat rakan-rakan di dalam pekerjaan ini seperti Susan Lankester, Sharifah Amani, Beto Kusyairi, dan ramai lagi, terutamanya ibu kepada sahabat saya yang berusia lebih 70 tahun yang juga berisiko tinggi dan telah mendapatkan satu dan dua dos vaksin," jelasnya.
Malah, Adibah hanya mengetahui dia tergolong dalam mereka yang berisiko tinggi, apabila dia mendaftar untuk vaksin.
"Jadi saya menjadi lebih yakin untuk mendaftar dan apabila saya mendaftar itu, baru saya tahu dan timbul kesal sebab saya juga tergolong dalam berisiko tinggi. Kalau awal-awal saya daftar mungkin saya sudah dapat dos pertama, tapi tak mengapa. Kita dahulukan mereka yang lebih memerlukan," tambahnya lagi.
Justeru, kepada mereka yang mempunyai pendirian yang sama sepertinya sebelum ini dinasihatkan agar mendapatkan informasi yang tepat dan daftar vaksin demi keselamatan diri dan mereka di sekeliling.
"Jadi, teruskan hasrat untuk mendaftar, semoga kita sama-sama dapat menangani penularan COVID-19 ini kerana kalau lebih ramai divaksinasi, lebih susah COVID-19 itu nak hidup walaupun dia ada, tetapi dia susah sikit nak menular seperti sekarang ini. Teruskan mendaftar kalau belum, tapi bersabar sikitlah nak tunggu giliran untuk divaksin," kata Adibah.
#Adibah Noor
#penyanyi
#pelakon
#artis
#Malaysia
#vaksin
#jom cucuk vaksin
#COVID-19
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#PICK