Jangan tumpu kepada ibadah saja, paling penting ajar nilai hidup Islam - Tun Mahathir

Hilal Azmi, Afiq Ariffin
Ogos 10, 2019 05:48 MYT
Kita perlu ajar nilai Islam sebenar, kata Dr Mahathir. -Foto narasi.tv
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pembelajaran agama Islam menumpukan kepada ajaran Islam sebenar.
Katanya, pembelajaran agama telah diterapkan sejak peringkat awal lagi cuma perkara yang ditekankan tertumpu kepada menunaikan ibadah wajib.
"Kita dapati guru-guru agama ini tidak tertumpu kepada ajaran agama yang Sunnah.
"Mereka hanya menentukan berkenaan dengan menunaikan ibadah wajib (fardu ain) seperti solat, puasa zakat, ibadah haji.
"Tetapi tentang cara hidup orang Islam mereka tidak ajarkan," katanya dalam wawancara bertajuk "Mahathir Bicara Ulama dan Jokowi : Catatan Najwa" bersama personaliti media Indonesia Najwa Shihab yang diterbitkan di www.narasi.tv
Jelas beliau, memburukkan keadaan, ramai guru agama yang mewujudkan doa, tulisan dan kepercayaan yang bertentangan dengan Al Quran.
"Jadi kita nak kembalikan (pembelajaran Islam sebenar) bukan singkirkan agama, tidak.
"Kita nak tumpukan kepada ajaran agama yang sebenarnya dan apa yang sebenarnya datang daripada Al Quran," jelasnya lagi.
#ajaran islam #fardu ain #Mahathir Bicara Ulama dan Jokowi Catatan Najwa #Mahathir Mohamad #Najwa Shihab #Narasi TV #pembelajaran agama Islam
;