Jangan tumbuk di bawah pusat, kata Mat Sabu kepada Najib

Hafiz Marzukhi
Julai 31, 2018 17:26 MYT
Najib berkata di Sungai Kandis baru-baru ini, Mohamad (gambar) bukan tokoh yang layak diangkat menjadi menteri pertahanan. - Gambar fail
Jangan 'tumbuk di bawah pusat' (hit below the belt), kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Kenyataan itu ditujukan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan mempertikaikan kelayakan beliau semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis baru-baru ini.
"Komen di luar saya tak mahu jawablah, saya nak jawab komen dalam Parlimen. Kalau komen di luar, itu orang kata 'tumbuk di bawah pusat'. Tidak 'gentleman'.
"Marilah komen di dalam ini," kata Mohamad, merujuk kepada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau diminta memberi respon kepada sindiran Najib yang Mohamad tidak layak menjawat jawatan itu.
"Terlalu awal untuk saya komen. Saya baru dua bulan jadi menteri.
"Jika ingin dinilai seseorang dalam tempoh masa itu, belum tiba masanya," katanya.
Sebuah portal berita melaporkan, Najib berkata kepada hadirin dalam satu program Barisan Nasional di Sungai Kandis baru-baru ini, Mohamad bukan tokoh yang layak diangkat menjadi Menteri Pertahanan.
“Menteri Pertahanan pun kartun. Pakai (topi) beret pun macam kartun, naik kapal perang cakap nak buat kari ikan.
“Awak ini menteri pertahanan, cakap pasal dasar pertahanan negara, jangan cakap nak buat kari ikan. Ini bukan taraf menteri pertahanan, ini joker, ini kartun,” Najib, juga bekas menteri pertahanan, dilaporkan sebagai berkata.
Tambah Mohamad, tumpuannya kini lebih kepada kementeriannya.
"Waktu saya habis di sana (Kementerian Pertahanan). Soal menilai, kena tunggu dan lihat," katanya.
#bawah pusat #Dewan Rakyat #Dun Sungai Kandis #jawatan #layak #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu #Najib Razak #PRK Sungai Kandis #sungai kandis
;