Jangan tuding jari kejadian menimpa enam anggota bomba

Bernama
Oktober 4, 2018 05:37 MYT
Mohamed Hanipa berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada semua anggota keluarga mangsa selepas semua urusan selesai. - Gambar fail
Orang ramai diminta agar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak dalam tragedi yang mengorbankan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, kejadian yang menimpa keenam-enam mangsa adalah satu kemalangan dan di luar bidang kuasa semua pihak.
“Sesetengah pihak tidak sepatutnya menuding jari atas apa yang telah terjadi. Anggota bomba yang terkorban ini maut ketika melaksanakan tugas menyelamatkan mangsa dan apa yang berlaku adalah di luar kawalan mana-mana pihak.
"Kita harus tabah dan reda atas apa yang berlaku. Kita juga sepatutnya perlu mengorak langkah dengan mengkaji kelemahan dari setiap aspek bagi mengelak tragedi sama berulang semula,” katanya ketika ditemui selepas melawat anggota keluarga remaja lemas, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17,di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang, di sini malam tadi.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Sepang berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada semua anggota keluarga mangsa selepas semua urusan selesai.
Tambahnya, pihaknya belum lagi membuat keputusan tentang jenis bantuan yang akan dihulurkan.
“Bagi enam anggota bomba yang terkorban dalam tragedi ini, mereka adalah ‘unsung hero’ (wira yang tidak didendang),” katanya yang meluangkan masa selama dua jam bersama anggota keluarga remaja berkenaan.
Jenazah Muhammad Ilham Fahmy selesai dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Serdang pukul 9.36 malam tadi dan kemudian dibawa ke Masjid Putra Perdana, Puchong dan disolatkan pada pukul 10.45 malam.
Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana pada 11.25 malam.
Pada Rabu, enam anggota PPDA lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Ilham Fahmy.
Mereka terdiri daripada empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
-- BERNAMA
#bantuan #bomba #kebumi #kemalangan #lema #lombong #luar kawalan #mangsa #Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam #pasukan penyelamat #PPDA #Puchong #SAR #Serdang #tuding jari
;