Jangan tolak ansur rasuah, salah guna kuasa - PM Anwar
Bernama
Oktober 5, 2024 13:44 MYT
Oktober 5, 2024 13:44 MYT
TANJONG MALIM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masyarakat agar memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Ringkasan AI
- Anwar mengingatkan masyarakat untuk memberikan sokongan penuh kepada usaha kerajaan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
- Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengaut kekayaan negara tanpa rasa tanggungjawab, baik dari masa lalu maupun masa kini.
- Anwar menolak alasan politik yang sering digunakan untuk membela individu yang berjasa tetapi terlibat dalam rasuah, menegaskan bahawa jasa tidak boleh dijadikan alasan untuk mencuri kekayaan negara.
Beliau berkata kerajaan akan mengambil sikap tegas terhadap individu yang mengaut kekayaan negara tanpa rasa tanggungjawab, sama ada pada masa lalu mahupun kini.
"Pendekatan tegas terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa sering kali dijadikan alasan politik. Ada yang berkata, 'Oh, kasihan, dia dulu berjasa...semua orang pernah berjasa; ketua kampung, penghulu, dan tok imam juga berjasa.
"Tetapi, bolehkah mereka yang berjasa itu mencuri duit masjid? Sudah tentu tidak. Mengapa pula seorang menteri kewangan, jika beranggapan dirinya berjasa, boleh mencuri berbilion ringgit?" katanya ketika berucap pada majlis Syarahan Za'ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Sementara itu, Perdana Menteri mencabar bekas pemimpin yang mengaut kekayaan menerusi hasil negara sebelum ini agar memulangkan wang tersebut kepada rakyat dan negara.
Anwar menegaskan bahawa individu terbabit tidak sepatutnya hanya bercakap "kosong" dengan sering mengaitkan perjuangan mereka untuk membela nasib bangsa, sedangkan tindakan itu tidak ditunjukkan.
"Jika benar pemimpin-pemimpin Melayu yang merompak harta negara ini memiliki kekayaan berbilion ringgit, saya ingin bertanya: Benarkah kamu pejuang sejati? Benarkah kamu akan terus membela nasib Melayu? Kemudian, saya ingin tahu, berapa banyak harta yang kamu miliki sekarang?
"...sebaiknya, sebagai seorang pejuang yang tulen, pulangkan semula wang yang kamu curi itu kepada rakyat dan negara," katanya.
Pada majlis hari ini, Anwar turut menyampaikan ucaptama dengan tajuk "Menoktahkan Kemiskinan Demi Kesejahteraan Rakyat" di hadapa kira-kira 5,000 hadirin yang terdiri daripada pelajar, warga UPSI dan masyarakat setempat, sebelum melakukan gimik peluncuran Kempen Guru Bangsa dan Akademia Negara.
Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Akademia Negara Sepanjang Zaman kepada Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), yang diterima oleh cucu Za'ba iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor.
Anwar juga menyerahkan dana yang diluluskan bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) kepada lima penerima di Perak, selain menyampaikan Manfaat Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) kepada empat penerima.
-- BERNAMA