'Jangan tipu, kalau ada babi, beritahu ada babi...' - Idris Ahmad
Hasimi Muhamad
September 17, 2022 11:27 MYT
September 17, 2022 11:27 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan memberi amaran kepada segelintir peniaga agar tidak memanipulasi logo halal dan menipu bahan-bahan yang terdapat di dalam produk yang dijual termasuk jenama gula-gula yang didakwa mengandundi 'gelatin babi' seperti tular baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengambil tindakan sekiranya perkara itu berlaku.
Tegasnya, mereka yang menjalankan peniagaan perlu bersikap jujur bagi mengelakkan kemudaratan khususnya kepada pengguna Islam.
"Pertamanya soal sebegini kita harap mereka yang meniaga ini jangan tipu. Kalau ada babi, beritahu babi lah (ada kandungan). Apa masalah? Kita bukan nak halang orang lain makan, itu hak (pengguna bukan Islam). Yang kita nak jaga ini ialah untuk keperluan orang Islam sendiri (seperti ada) tanda halal tadi.
"Kedua, jangan nak meniaga sampai nak peralatkan agama begitu rupa. Kena jaga sensitiviti majoriti rakyat kita, iaitu orang Islam. Jangan sampai awak menggunakan agama seperti tanda halal semata-mata untuk komersial (produk) yang ada pada awak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam (Nuim) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial dakwaan bahawa satu jenama gula-gula mengandungi unsur babi tetapi memiliki tanda halal pada pembungkus.
Menerusi ciapan yang dihantar oleh sebuah akaun di sebuah Twitter itu, ‘gelatin babi’ antara yang tercetak dalam senarai bahan-bahan bagi pembuatan gula-gula berkenaan.
Mengulas lanjut, Idris berkata pihak Jakim dan Bahagian Pengurusan Halal Negeri tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan tanda halal.
Sebaliknya tegas beliau, pengeluaran logo halal perlu melalui prosedur dan garis panduan ketat yang telah ditetapkan.
Ujarnya, masyarakat perlu meneliti kandungan dalam sesuatu produk sebelum membeli, dan membuat laporan segera jika ia bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan.
Mengenai ajaran sesat Hadi Minallah pula, Idris berkata Jakim masih lagi giat mengesan kumpulan tersebut.
Jelasnya, serbuan yang dilakukan baru-baru ini mendapati individu berkenaan tidak berada di lokasi yang didakwa menjadi pusat operasi ajaran sesat.
"Setakat ini tidak dapat dikesan. Tidak tahu siapa dia, hari itu kita sudah pergi ke pejabat dia, memang pergi tengok tetapi dia tak ada. Sebab itu kita sedang mencari lagi.
"Kedua, kalau nak ambil tindakan ia mesti diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebab perkara ini tiada lagi dalam fatwa (ajaran sesat baharu) dan ia tak boleh ambil tindakan," ujarnya.
Pada 8 Ogos lalu, Idris dilapor berkata Jakim sudah mengenal pasti lokasi pusat operasi Hadi Minallah.
Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.