Jangan tinjau, buat kandungan media sosial di kawasan tanah jerlus - Polis

Bernama
September 5, 2024 16:18 MYT
PDRM memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menghampiri, meninjau, dan membuat kandungan untuk media sosial di kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India. -Gambar fail/Noor Fahmey Md Azhar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan amaran kepada orang awam supaya tidak menghampiri, meninjau, dan membuat kandungan untuk media sosial di kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Ringkasan AI
  • PDRM memberi amaran kepada orang awam supaya menjauhi kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India dan tidak membuat kandungan media sosial di situ. Kawasan tersebut masih dalam kawalan polis dan berbahaya.
  • Pada 23 Ogos, seorang pelancong wanita dari India hilang selepas terjatuh akibat tanah jerlus.
  • Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sembilan hari kemudian setelah kajian semula laporan oleh agensi berkaitan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata beliau telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk menempatkan anggota berkawal di kawasan terbabit supaya kerja-kerja agensi lain tidak terganggu.
"Kita tidak mahu orang ramai pergi meninjau dan buat kandungan TikTok di kawasan tanah jerlus terbabit, kalau boleh jauhi terus tempat itu.
“Lubang di kawasan itu kira-kira sedalam lapan hingga 10 meter. Lebih baik kita ingatkan orang ramai bahawa tempat ini masih dalam kawalan pihak polis dan jangan bahayakan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam insiden pada 23 Ogos lepas, seorang pelancong dari India, G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh akibat tanah jerlus.
Operasi mencari dan menyelamat wanita warga India terbabit bermula sejak 23 Ogos dan ditamatkan sembilan hari kemudian selepas kerajaan mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR.
Berhubung isu tanah runtuh di Wangsa Maju, Rusdi berkata kerja ujian tanah sedang dibuat sebelum proses memasang cerucuk dilakukan di sepanjang tebing yang terlibat.
“Sebelum ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengeluarkan notis kepada 14 rumah terlibat untuk dikosongkan manakala tiga rumah boleh diduduki,” katanya.
Sebelum ini, seramai 52 penghuni di 17 unit kediaman rumah teres yang terletak di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang-Kem Wardieburn di sini diarahkan berpindah susulan tanah runtuh yang berlaku pada 22 Ogos lepas.
– BERNAMA
#tanah jerlus #Masjid India #Polis Diraja Malaysia #kandungan untuk media sosial