Jangan tinggal al-Quran, pesanan terakhir Allahyarham Pak Su Mid
Adie Sufian Zulkefli
November 11, 2022 06:00 MYT
November 11, 2022 06:00 MYT
KUALA NERANG: Allahyarham Tuan Guru Abdul Hamid Ismail, 96 atau lebih dikenali ‘Pak Su Mid’ sering mengingatkan orang ramai termasuk keluarganya agar tidak meninggalkan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Anak kedua, Pirdaus Abdul Hamid, 41, Allahyarham bapanya sentiasa menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin negara sehinggalah golongan agama untuk mendapatkan nasihat.
"Ramai tetamu yang ziarah ayah dia selalu bagi nasihat, yang paling banyak sekali amalan. Mereka datang akan bawa al-Quran, dia akan bagi amalan al-Quran, mereka akan catat amalan.
"Untuk anak-anak nasihat dia, al-Quran lah, kalau siapa pun datang dia akan pesan 'al-Quran jangan tinggal'. Kalau anak-anak murid datang minta nasihat, apa nasihat (Pak Su), nasihat saya al-Quran, lain daripada itu tak ada apa paling tinggi, al-Quran jangan tinggal. Pak Su Mid sakit pun, al-Quran, walaupun dia tak boleh baca, rakaman itu ada selalu, kita pasang dia akan dengar. Bagi dia al-Quran itu sebati lah," katanya.
Pirdaus ditemui di rumahnya rumahnya di Kampung Kuala Pai, dekat Kuala Nerang malam tadi.
Menurut Pirdaus, Allahyarham bapanya sebelum ini sering mendapatkan rawatan di hospital namun kesihatannya semakin merosot sejak tiga minggu lalu.
Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun pada jam 10 pagi Sabtu.
Sementara itu, penyandang Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menziarah jenazah Allahyarham.
Menurut Mahdzir, negara kehilangan seorang ulama yang sentiasa menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan nasihat.
"Kehilangan seorang ulama yang tersohor bukan sahaja di Kedah, malah ulama di peringkat nasional. Syeikh Abdul Hamid atau dikenali di daerah Padang Terap Ini sebagai Pak Su Mid, telah kembali ke Rahmatullah, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Pak Su Mid," katanya.
Allahyarham Pak Su Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, 60an, tiga anak bersama 10 orang cucu.
Allahyarham menghembus nafas terakhir pada jam 6.30 petang Jumaat di Putra Medical Centre (PMC) di Alor Setar.