Jangan timbulkan kekhuatiran, beri ruang proses demokrasi - KPN

Fareez Azman
Februari 24, 2020 19:14 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berharap pemimpin dan rakyat perlu memberi ruang bagi proses demokrasi berjalan dengan baik - Foto Fareez Azman/ Astro AWANI
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan kepada rakyat Malaysia agar bersabar dan tidak menimbulkan sebarang kekhuatiran.
Jelas Hamid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pihaknya akan terus memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin.
“Saya berada di istana dari tengah hari tadi, diminta oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menghadap dan seterusnya merafak ke bawah Duli Tuanku Tuanku.
“Keadaan ketenteraman awam dan keselamatan saya telah ditaklimatkan (bahawa) negara dalam keadaan tenteram, aman (cuma) timbul kekhuatiran perkara-perkara yang ada hubung kait dengan politik tetapi secara keseluruhannya keadaan aman dan tenteram,” katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Istana Negara pada Isnin.
Tambah Abdul Hamid, pemimpin dan rakyat perlu memberi ruang bagi proses demokrasi berjalan dengan baik.
Justeru, orang ramai diseru tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu keadaan semasa.
“Yang lain, proses demokratik (dan) perlembagaan itu berjalan seperti biasa, sebagaimana saudara dapat lihat (di sekitar kawasan Istana Negara) tentang siapa yang keluar dan masuk,” katanya.
#keselamatan #Ketua Polis Negara #Malaysia #Malaysia 2020 #PDRM
;