Jangan terus simpulkan TikTok itu negatif - Bastien

Astro Awani
April 12, 2020 20:50 MYT
Sebelum ini, satu poster pertandingan TikTok di laman sosial mengejutkan ramai pihak. Ia sekali gus menjadi perdebatan susulan pertandingan itu dianjurkan KPT. - Gambar Sinar Harian
TikTok telah dilihat dari sisi buruk sahaja walhal semua aplikasi dalam talian masing-masing mempunyai sisi positif dan negatif mereka yang tersendiri.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, sesuatu aplikasi itu juga tidak boleh disimpulkan terus tidak baik hanya kerana seseorang individu itu sering terdedah dan melihat perkara-perkara dari sudut negatif sesebuah platform semata-mata.
Jelasnya, TikTok juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan komunikasi dan mengurang tekanan berada di rumah.
Malah katanya, ada yang menyampaikan dakwah, berkongsi pengalaman, resepi dan saranan mengelak COVID-19 melalui platform tersebut.
“Saya melihat ramai yang memberi buah fikiran dan kritikan kepada saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berhubung pertandingan TikTok.
“Saya percaya Dr Noraini membuat pengumuman sedemikian kerana hendak berhubung dengan golongan sasaran Kementerian Pengajian Tinggi.
“Rata-rata pengguna TikTok adalah daripada golongan berumur 16 sehingga 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
BACA: COVID-19: KPT akan kaji mekanisme bawa pelajar IPT pulang - Noraini Ahmad
BACA: 128 buah IPT terima bekalan makanan sepanjang PKP, sumbangan kekal konsisten
Sebelum ini, satu poster pertandingan TikTok di laman sosial mengejutkan ramai pihak. Ia sekali gus menjadi perdebatan susulan pertandingan itu dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Bagaimanapun, menerusi hantaran tweet yang sudah dipadam, Dr Noraini mengajak orang ramai berkongsi kreativiti masing-masing menggunakan aplikasi video itu.
Dalam pada itu Bastien menjelaskan, golongan berkenaan memang menjadi kumpulan sasar dalam pertandingan tersebut.
“Sebagai seorang Menteri, Dr Noraini harus peka dan tahu bagaimana untuk berhubung dengan golongan sasaran. Ada generasi Friendster, Facebook, Instagram dan sekarang ini TikTok. Ia adalah platform pilihan ramai golongan umur tersebut.
“Tetapi apa yang menjadi persoalan, kebanyakan komen datang daripada mereka yang bukan golongan sasar,” ujarnya.
Sehubungan itu, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat turut mengajak orang ramai untuk melihat inisiatif-inisiatif lain KPT yang boleh memberi manfaat kepada pelajar pengajian tinggi untuk dikongsikan berbanding perbincangan mengenai isu TikTok.
Dr Noraini antara lain mahu memastikan semua pelajar yang berada di kampus atau rumah sewa mendapat bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, bantuan bekalan makanan kering oleh Yayasan Food Bank Malaysia juga telah mula diedar ke IPT-IPT termasuk di Universiti Awam, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti sejak 21 Mac lalu.
Dalam perkembangan berhubung syarikat penerbangan AirAsia yang mengharapkan agar pelanggan menerima pulangan dalam bentuk tawaran kredit selama setahun, Bastien berharap satu badan atau taskforce di kementerian untuk melihat perkara seperti ini yang akan timbul selepas isu COVID-19 berakhir kelak.
Tegasnya, hubungan antara pembeli-penjual, pekerja-majikan, pelanggan-pembekal perkhidmatan, kontraktor- subkontraktor dan banyak lagi akan timbul pasca COVID nanti bakal menekan golongan yang teraniaya.
“Dalam hal AirAsia ini, saya berharap Kementerian yang berkaitan dengan Hal Ehwal Pengguna harus segera mengeluarkan kenyataan untuk membela mana-mana pihak yang menekan pengguna bukan sahaja untuk kes ini.
“AirAsia menganggap bahawa semua pelanggan sebagai keluarga besar tetapi hanya memberi solusi untuk menjaga kepentingan mereka sahaja.
“Jika ramai yang sudah menerima pulangan dalam bentuk kredit iaitu seramai 80 peratus daripada mereka, apa salahnya jika 20 peratus yang enggan menerima atas pelbagai sebab diberi pulangan tunai semula,” ujarnya.
Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes perlu tahu bahawa kebanyakan pelanggan penerbangan tambah murahnya bukanlah berlatarbelakangkan mereka yang mempunyai pendapatan tinggi.
“Jadi dalam keadaan sebegini Tony harus cuba memahami dan memulangkan semula wang sebagaimana kehendak mereka. Keluarga mesti ada tolak-ansur,” jelasnya.
Terdahulu, AirAsia menyarankan para pelanggan yang terjejas agar penerima tawaran kredit bukannya menuntut bayaran balik bagi penerbangan yang dibatalkan kerana wabak COVID-19.
#AirAsia #COVID-19 #Facebook #Instagram #laman sosial #Pemuda UMNO #penerbangan #TikTok #Tony Fernandes #Tweet #video
;