Jangan tertipu dengan berita palsu - PM Najib

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 8, 2017 06:27 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengulangi gesaannya agar rakyat tidak mudah terpedaya dengan berita palsu terutamanya berita berkaitan ekonomi Malaysia.
Ini kata beliau kerana masih wujud usaha pihak tertentu yang memberikan tanggapan negatif demi mencapai kepentingan mereka.
"Jangan tertipu dengan berita palsu. Sudah lebih daripada cukup dan kita tidak mahu ia mengaburkan pencapaian dan kejayaan program transformasi Malaysia, satu transformasi bagi semua rakyat Malaysia, apapun pandangan mereka, yang harus dibanggakan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-19 di sini hari ini.
Persidangan dua hari yang bermula hari ini membawa bersama-sama pemimpin industri terkemuka, pembuat dasar dan perwakilan industri dari seluruh dunia.
Tambah beliau, di bawah kepimpinan kerajaan ini, terdapat tahun-tahun pertumbuhan yang sihat, yang melahirkan 2.26 juta pekerjaan baharu dengan kadar pengangguran dan inflasi telah dapat dikurangkan selain Pendapatan Negara Kasar telah meningkat hampir 50 peratus.
"Perkara ini tidak akan berlaku secara kebetulan. Ia berlaku kerana kerajaan mempunyai rancangan. Rancangan itu telah dapat disampaikan dan akan terus disampaikan," katanya lagi.
Sebelum ini perdana menteri mendedahkan bagaimana penyebaran maklumat yang tidak betul tentang ekonomi negara telah menyebabkan Malaysia hampir kehilangan pelaburan syarikat gergasi minyak Arab Saudi, Aramco bernilai 31 bilion ringgit.
#berita palsu #Malaysia #Najib Razak #Perdana Menteri #PM #rakyat