Jangan terpedaya fitnah pembangkang - Muhyiddin
Bernama
Februari 22, 2013 23:18 MYT
Februari 22, 2013 23:18 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan fitnah dan tohmahan pembangkang yang tersebar di media sosial kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat kini sudah hampir bankrap.
Beliau berkata semakan terhadap data-data yang disebarkan dalam YouTube mendapati semuanya adalah suatu pembohongan memandangkan kedudukan kewangan negara, yang mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus sepanjang tahun lepas, adalah kukuh.
Oleh itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan cerita yang "bukan-bukan", fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang.
"Ketua pembangkang (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) pernah berkata kerajaan yang ada pada hari ini sudah hampir bankrap. Dia kata kerajaan BN sudah hampir bankrap dan bila mana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuat keputusan untuk memberikan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) pasti bankrap kata mereka.
"Ini telahpun dikeluarkan di YouTube" dan telah dikeluarkan data-data. Kami telahpun menyemak data-data itu dan semuanya suatu penipuan dan pembohongan yang telahpun dibuat oleh pembangkang kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sri Antanom, di sini Jumaat.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Said Keruak, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin.
Sehubungan itu, Muhyiddin berharap rakyat Sabah tidak memberi ruang atau sokongan kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita nak tentukan supaya pembangkang tiada ruang dan tidak dapat sokongan daripada rakyat di Sabah termasuk di Tenom.
"Kita nak tentukan usaha yang kita telah laksanakan selama ini dinikmati oleh rakyat termasuk inisiatif Perdana Menteri memperkenalkan transformasi bukan reformasi," katanya.
Muhyiddin juga yakin Sabah akan terus menjadi penyumbang utama kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum yang ke-13 nanti.
"Berdasarkan taklimat yang diberikan kepada saya (pagi tadi), saya rasa bahawa kedudukan BN yang ada di Sabah begitu kukuh sehingga kita dapat pertahankan kuasa kita.
"Insya-Allah, kemenangan di Sabah akan membantu kita mencapai kejayaan dalam PRU peringkat Parlimen nanti...mudah-mudahan BN akan mencapai kejayaan yang cemerlang," katanya.