"Jangan terpedaya dengan Malaysian Spring" - Pengerusi ISIS

Haider Yutim
Julai 4, 2013 09:10 MYT
Mohamed Jawhar Hassan (kiri)
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan berkata rakyat tidak harus terpedaya dengan 'Malaysian Spring'.
Jelas beliau, tidak ada sebab untuk kebangkitan seperti Arab Spring, melainkan ada pihak yang sengaja ingin mencetuskannya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada pihak yang telah cuba untuk melakukannya sebelum ini namun ia tidak berjaya.
"Tiada sebab untuk orang ramai pergi ke jalanan melainkan telah didorong oleh ahli-ahli politik tertentu yang mereka pilih untuk percaya. Ia sangat malang kerana kebanyakannya tidak betul," kata Mohamed Jawhar ketika ditemui Astro Awani selepas menghadiri forum tentang krisis di Syria pada Rabu.
Menurutnya, tidak seperti di Syria, kemiskinan bukan lagi menjadi isu di negara kita dan jika berlaku sebarang ketidakpuashati ia adalah disebabkan isu lain.
"Kita ada masalah-masalah itu, tetapi ini bukan Syria. Ada ramai yang suka guna istilah (Malaysian Spring) itu namun kita tidak harus terpedaya dengannya," katanya.
Namun, kata Mohamed Jawhar sebarang masalah atau isu perlu ditangani dan diuruskan dengan cara yang membina.
Sementara itu, beliau juga berkata tidak mungkin negara kita akan bergolak seperti di Syria jika terjadinya Malaysian Spring.
Menurut beliau, ini kerana situasi di Malaysia berbeza dengan situasi Syria yang banyak kekurangan serta rakyat yang terpinggir.
"Saya rasa mereka (kerajaan) sedang uruskannya (negara) dengan betul. Jika kita bandingkan Malaysia dengan Syria, situasi ekonominya berbeza... situasi sosialnya berbeza... situasi politiknya pun berbeza. Di sini lebih demokrasi," tambahnya.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tidak ada asas untuk melancarkan bantahan ala Arab Spring di Malaysia kerana negara telahpun menikmati keamanan dan kestabilan selama 55 tahun.
Dalam temu bual dengan BBC pada Selasa malam, beliau berkata negara Asia Tenggara ini yang berpenduduk 28 juta orang menyaksikan kemajuan ekonomi yang baik dan rakyat mempunyai banyak perkara untuk melihat ke hadapan.
#ISIS #krisis #malaysian spring #mohamed jawhar hassan #Syria
;