Jangan terlibat dalam mogok mengejut, bersemuka selesaikan masalah - Dr Zaliha

Bernama
Februari 15, 2023 18:32 MYT
Dr Zaliha Mustafa menasihatkan pekerja dalam sektor kesihatan awam supaya tidak terlibat dalam sebarang mogok tanpa pemberitahuan kerana ia tidak menyelesaikan masalah. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menasihatkan pekerja dalam sektor kesihatan awam supaya tidak terlibat dalam sebarang mogok tanpa pemberitahuan kerana ia tidak menyelesaikan masalah.
Menerusi klip video di laman sosial TikTok, beliau meminta pekerja di bawah pimpinannya supaya berjumpa secara bersemuka untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai.
"Saya sebenarnya faham, sangat faham tentang masalah itu. Latar belakang saya sendiri sebagai doktor, ini menyebabkan saya memang faham dan saya tekad sebenarnya untuk menyelesaikan masalah ini dan kalau boleh, hari ini juga saya nak selesaikan.
"Tapi kita perlu faham bahawa ini akan mengambil sedikit masa untuk saya memahaminya lebih mendalam dan sebaik-baiknya supaya penyelesaian yang terbaik dapat kita laksanakan," katanya selepas mendengar bahawa mogok mengejut kemungkinan dilakukan oleh pihak tertentu..
Dr Zaliha juga meminta pekerja kesihatan supaya berfikir dengan cara yang lebih matang.
"Insya-Allah kita bertemu bersemuka dan akhirnya kita dapat sama-sama selesaikan masalah ini dan semua sebenarnya akan dapat kebaikan," katanya. - BERNAMA
#mogok mengejut #pekerja sektor kesihatan #bersemuka #Menteri Kesihatan
;