Jangan terhantuk baru terngadah... Pesan Saifuddin kepada Takiyuddin
Umavathi Ramayah
Oktober 1, 2023 17:10 MYT
Oktober 1, 2023 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Jangan terhantuk baru terngadah...
Itu reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditanya mengenai dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai kehadiran luar biasa polis ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang baru-baru ini.
Menurutnya, kehadiran polis di kawasan berkenaan adalah penting bagi menilai sesuatu keadaan.
"Keberadaan polis dalam bentuk omnipresent adalah penting untuk menilai sesuatu keadaan... jadi tak perlu bimbang. Jangan sudah terhantuk baru tengadah," kepada pemberita selepas program Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI, di sini pada Ahad.
Justeru Saifuddin berharap pihak-pihak yang terlibat dalam pilihan raya supaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan tidak memainkan isu sensitif atau mengapi-apikan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan perpaduan dan ketenteraman rakyat.
Apa yang penting katanya, peluang sama rata diberikan kepada setiap parti untuk mendekati rakyat yang merupakan pengundi.
"Tugas polis jaga keselamatan dan tugas parti adalah berkempen dan mendapatkan sokongan.
"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan mana-mana parti dihalang polis untuk mendekati pengundi. Yang diadu adalah polis hadir memberi kawalan keselamatan, itu yang pelik," katanya.
Baru-baru ini, Takiyuddin mendakwa kehadiran luar biasa polis itu memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan itu bersikap lebih rasional dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
Tambah Takiyuddin, sebagai sebuah parti politik berdaftar, pihak berkuasa tidak perlu membuat tindakan yang tidak sewajarnya termasuk membuat pemeriksaan terlalu kerap.