"Jangan tentang RUU 355 sebelum faham" - TPM

Israr Khalid
November 23, 2016 19:55 MYT
Kata Ahmad Zahid, usaha meningkatkan mutu perundangan Syariah dilihatnya perlu kerana ketika ini hukuman kepada pesalah jenayah-jenayah Syariah terlalu kecil dan tidak berkesan. - Gambar fail
Pihak yang menentang usul Rang Undang-Undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) diminta memahami sebaiknya intipati RUU sebelum bertindak demikian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan undang-undang tersebut tidak lebih daripada bertujuan untuk meningkatkan martabat dan memperkasa sistem perundangan Islam di negara ini.
"RUU 355 bukan pasal hudud, kita mahu tingkatkan martabat mahkamah Syariah, salah ke?
"Adakah kita mengetepikan agama lain? Adakah undang-undang dalam mahkamah Syariah itu menyentuh agama lain? Tidak begitu," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Tahfiz Al-Quran Antarabangsa bersempena sambutan Jubli Emas Darul Quran di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini.
Kata Ahmad Zahid, usaha meningkatkan mutu perundangan Syariah dilihatnya perlu kerana ketika ini hukuman kepada pesalah jenayah-jenayah Syariah terlalu kecil dan tidak berkesan untuk mendidik pesalah dan masyarakat.
Beliau turut mengulas perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu di Parlimen semalam yang disifatkannya satu pertemuan yang berhasil apabila Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti lain akhirnya memahami RUU tersebut.
"Pada peringkat awalnya agak hangat sedikit kerana mereka kurang faham.
"Tetapi apabila penjelasan dibuat mereka kata 'kenapa tak dijelas sejak dahulu?' Soal saya 'kenapa tidak tanya dari dahulu?" maklumnya.
Justeru katanya yang juga Menteri Dalam Negeri, umat Islam negara ini tidak harus berasa bersalah apabila usaha meminda undang-undang tersebut dibuat, dan memohon supaya masyarakat bukan Islam menghormati keputusan tersebut yang dibuat demi kebaikan umat Islam negara ini.
"Kalau tidak faham kita akan rundingi, kita akan jelaskan. Jangan tentang sebelum faham," tegasnya.
Dalam pertemuan di Parlimen semalam, Ahmad Zahid memberitahu bahawa kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk, membabitkan anggota Parlimen beragama Islam dan bukan Islam.
Ia bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
RUU 355 dijangka dibacakan buat kali kedua pada hari terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 2016 bagi sidang Dewan Rakyat iaitu 24 November ini.
#Ahmad Zahid Hamidi #Akta Mahkamah Syariah #Rang Undang-Undang (RUU)
;