Jangan tanam durian di kawasan perumahan - MBI
Abd Razak Mohd Ali
Januari 30, 2022 10:45 MYT
Januari 30, 2022 10:45 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menasihati warga bandar raya itu supaya tidak menanam pokok besar seperti durian di kawasan taman perumahan.
Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, walaupun pihaknya menggalakkan program kebun komuniti bandar, ia perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Kita ada garis panduan. Sesiapa yang melanggar garis panduan, kita akan ambil tindakan. Memang pokok-pokok besar macam durian, tak boleh (ditanam di taman perumahan).
"Bukan sahaja pokok, malah penggunaan baja yang tidak sepatutnya pun kita tak benarkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Hari Tanpa Kereta di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini, hari ini.
Menurutnya, MBI akan memberikan nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil jika terdapat pokok besar ditanam di kawasan perumahan.
Mengulas isu kacau ganggu melibatkan pencemaran bau di Jalan Chemor, yang timbul di media sosial b, Rumaizi berkata, pihaknya akan menangani isu tersebut.
Katanya, pihaknya juga akan merujuk kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta mengenai tanaman yang diusahakan peneroka haram.
Menurutnya, isu penerokaan haram dikendalikan oleh kerajaan negeri tetapi MBI akan berusaha menangani sebarang unsur kacau ganggu.
Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook milik sebuah kumpulan komuniti, seorang pengguna meluahkan rasa kurang senang dengan bau busuk yang didakwa berpunca daripada baja tanaman berhampiran kawasan perumahan.