Jangan tanam bibit perpecahan dalam negara - Anwar

Astro Awani
Jun 14, 2024 13:09 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam untuk tidak menggugat prinsip utama perlembagaan negara - Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam untuk tidak menggugat prinsip utama Perlembagaan negara.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan penjawat awam agar tidak mencabar prinsip utama Perlembagaan negara, dan menyatakan bahawa tindakan sedemikian akan diambil tindakan undang-undang.
  • Beliau menekankan pentingnya kritikan yang berasaskan fakta dan mengelak daripada fitnah serta menyeru agar tidak menanam bibit perpecahan dalam masyarakat, dengan mengambil pengajaran daripada pengalaman negara lain yang terjejas akibat pergaduhan antara kelompok agama dan kaum.
  • Anwar sekali lagi mengumumkan peningkatan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini, sambil menegaskan bahawa pendekatan pelarasan gaji kali ini bertujuan mengurangkan jurang gaji yang terlalu tinggi dan mengetatkan pengurangan gaji bagi beberapa jawatan, termasuk Menteri dan Timbalan Menteri.

Beliau memberitahu mana-mana pihak yang cuba melakukan perkara ini perlu diambil tindakan dan didakwa di muka pengadilan.
"Itu bukan kebebasan namanya. Itu akan membawa kepada kerosakan. Kritik, kritik. Banyak yang kritik Madani, banyak yang kritik dasar dasar kita termasuk pelaburan. Kita jawab. Tapi nak dibedakan sebab itu kita sebut 3R. Ada yang kata oh maknanya tak boleh sebut soal kaum, tak boleh soal agama atau Raja, tak betul. Boleh sebut tapi jangan fitnah.
"Jangan tanam bibit perpecahan ini. Belajar pengalaman daripada pengalaman negara lain. Pergaduhan di antara kelompok kelompok mazhab Islam. Pergaduhan antara kaum. Pergaduhan antara negara, hancur negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau sekali lagi menekankan skim gaji penjawat awam naik melebihi 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.
Beliau turut memaklumkan perkara ini sekali lagi bagi mengelak kekeliruan.
"Dah umum dah. Ada yang kata pelarasan gaji 13 peratus, itu tak betul. Pengumuman saya itu melebihi 13 peratus. Dan selari dengan Dasar Madani ini, terima kasih kepada KSN, KPPA, KSP yang dalam jawatan kuasa itu dan JPA sebagai badan induk kerana mereka juga bekerja kuat, tapi dia faham tentang pendekatan pelarasan gaji kali ini tidak sama, ada perubahannya," katanya.
Tambah Anwar, peningkatan gaji penjawat awam harus bermakna seterusnya harus selari dengan dasar Madani iaitu mengurangkan jurang gaji yang terlalu tinggi.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa pendapatan menyeluruh minimum penjawat awam sebanyak RM1,795 adalah tidak muhasabah.
"Maknanya yang tertinggi akan naik terkecil, dan terendah akan naik terbanyak. Yang tidak dinaikkan gaji Menteri dan Timbalan Menteri malah pemotongan diteruskan 20 peratus termasuk Perdana Menteri tidak dapat ambil gaji," katanya.
#penjawat awam #Anwar Ibrahim #Perlembagaan Negara
;