Jangan takut makan ikan, kerang, HAB hanya di Selat Tebrau Timur - Perikanan Johor

Siti Nur Aqilla Omar
September 4, 2020 12:07 MYT
Jabatan Perikanan Johor melakukan pemantauan kerap dan berterusan bagi memastikan fenomena tersebut berada dalam kawalan. Foto ihsan Pejabat Perikanan Johor
Orang awam di Johor tidak perlu panik atau bimbang untuk makan ikan dan kerang.
Ini kerana, fenomena Ledakan Alga Berbahaya (HAB) hanya berlaku di Selat Tebrau Timur sahaja, iaitu di Perairan Kuala Masai–Teluk Jawa.
Menurut Pengarah Perikanan Johor Noraishah Hashim, kejadian tersebut tidak berlaku di keseluruhan perairan negeri Johor.
"Masyarakat umum mulai panik dan takut membeli ikan dan kerang-kerangan di pasaran, selepas notis peringatan dimuat naik di Facebook kami pada 30 Ogos lalu, mengenai kemunculan HAB dari spesies alexandrium minutum di Selat Tebrau.
"Pejabat ini ingin memaklumkan bahawa notis tersebut tidak pernah melarang orang awam untuk memakan ikan dan kerang-kerangan di Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraishah berkata, notis tersebut dikeluarkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berjaga-jaga tentang kehadiran alga berbahaya berkenaan.
Pihaknya juga memohon orang ramai memberi kerjasama dengan melaporkan segera kepada pejabatnya sekiranya terdapat tanda-tanda kemunculan alga itu.
"Hasil daripada pemantauan berterusan yang dijalankan, tiada lagi berlaku kehadiran HAB.
"Namun demikian, buat masa ini pejabat masih memantau kawasan perairan terlibat dan sekitarnya, walaupun keadaan telah kembali kepada sediakala," tambahnya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pejabatnya di talian 07-5104808/4722 atau faks di talian 07-5095372
"Diharap pihak komuniti nelayan, pengusaha akuakultur dan orang awam melaporkan dengan segera sekiranya terdapat tanda kemunculan HAB seperti air berwarna merah dan kematian ikan atau kupang," kata Noraishah.
Sebelum ini, pejabat itu mengeluarkan notis peringatan yang menyatakan analisis makmal yang diperoleh pada 25 Ogos lalu mendapati, bacaan sel alexandrium minutum mencecah 3,000 sel per liter dan ledakan telah merebak ke perairan sekitar.
Alexandrium minutum adalah spesies dinoflagellate toksik yang menyebabkan keracunan paralitik dalam kerang-kerangan.
Sekiranya kandungan toksik dalam kerangan terlampau tinggi, ia boleh menyebabkan kekejangan atau kesukaran bernafas, seterusnya mengakibatkan maut kepada pemakannya.
Noraishah berkata, jabatan itu akan melakukan pemantauan kerap dan berterusan bagi memastikan perkara tersebut berada dalam kawalan.
#alga #Facebook #HAB #ikan #Johor #kerang #Kuala Masai #Noraishah Hashim #perairan #Selat Tebrau Timur #Teluk Jawa
;